FGVH TAK LIBATKAN TANAH MILIK PENEROKA FELDA!! - DS @NAJIBRAZAK



KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan sekali lagi, rancangan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia tidak melibatkan tanah hak milik peneroka Felda sama sekali.

Post Pic

Beliau berkata, ada banyak puak yang cuba mengelirukan warga Felda sekaligus memutarbelitkan fakta bagi menggagalkan usaha kerajaan.

Teks ucapan Perdana Menteri itu dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Jika disingkap kembali sejarah, dahulu ketika Kerajaan Perikatan ingin menggubal Akta GSA 1960, puak-puak ini juga yang kata LKTP (iaitu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) itu adalah 'Langkah Kerajaan Tipu Peserta'.

"Dan terbaru, puak-puak ini mendakwa usaha penyenaraian Felda Global akan menyebabkan tanah milik peneroka tergadai. Saya ulangi lagi bahawa tiada seinci pun tanah milik peneroka akan terlibat dalam penyenaraian ini. Penyenaraian hanya melibatkan tanah-tanah Kerajaan Negeri yang diberi hak memajukan kepada Kerajaan Persekutuan sebagaimana peruntukan dalam Akta GS 1960 yang selama ini diurus oleh Felda Plantations," katanya di majlis perasmian Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) 2012 di Dataran Merdeka hari ini.

Dalam teks ucapan yang dibacakan itu, Najib sekali lagi menegaskan bahawa usaha penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia adalah satu langkah ke depan bagi memastikan Felda terus maju untuk mendepani cabaran dunia nyata perniagaan global.

"Kita mahu kuasai produk hiliran. Kita tidak mahu semata-mata menjadi pengeluar bahan mentah sawit.

"Telah tiba masanya, potensi sebenar Felda diperlihatkan, dizahirkan dan kesejahteraan yang bakal lahir dari usaha itu dinikmati bukan sahaja oleh warga Felda tetapi menjadi hadiah kemakmuran kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengumumkan berita gembira apabila kerajaan memperuntukkan sebanyak RM7.535 juta untuk pelbagai program memperkasa belia Felda.

Daripada jumlah itu, RM1.585 juta akan diberi untuk bantuan pengurusan/program persatuan belia rancangan, di mana setiap daripada 317 persatuan belia Felda akan menerima RM5,000.

Sebanyak RM50,000 akan diberikan kepada setiap 11 Majlis Belia Felda sebagai bantuan pentadbiran/program Majlis Belia Felda Negeri dan Wilayah (jumlah keseluruhan RM550,000), RM20,000 untuk setiap 20 IPTA di bawah bantuan pentadbiran/pengurusan sekretariat permuafakatan siswa/siswi Felda (Persada) IPTA (jumlah keseluruhan RM400,000), manakala RM1 juta diperuntukkan untuk Bantuan Pengupayaan dan Khidmat Masyarakat Persada IPTA/IPTS dalam dan luar negara.

Manakala sebanyak RM4 juta untuk peruntukan tahunan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) bagi membolehkan majlis itu melaksanakan program pembangunan kecemerlangan sukan dan kebudayaan, program pembangunan kecemerlangan ekonomi dan keusahawaan, program kerohanian dan kesejahteraan sosial dan program 'gated community' dan keselamatan rancangan. -antarapos
.

Comments