HAPUS PTPTN?? - USAHA MEMBANTU ANAK2 ORANG KAYA SEPERTI AZMIN ALI!!


Cadangan pembangkang untuk menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika mereka memenangi pilihan raya umum akan datang merupakan perjuangan parti itu untuk golongan berada sahaja.

Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata PTPTN yang ditubuhkan sejak 1997 itu selama ini telah banyak berjasa kepada golongan kurang berkemampuan tidak boleh dimansuhkan kerana hanya saluran itu yang mampu membantu golongan tersebut.

"Saya rasa cadangan pembangkang yang mahu hapuskan PTPTN ini merupakan petanda bahawa mereka mahu memperjuangkan golongan berada seperti mereka bina rumah di Pulau Pinang di mana harganya mahal yang tidak mampu dimiliki oleh orang miskin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Penyelarasan Pembangunan Daerah Siri 1 Tahun 2012 di Kuantan, hari ini.

Katanya sekiranya tiada PTPTN, pelajar-pelajar miskin yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia tidak berpeluang untuk menyambung pengajian mereka ke menara gading.

Beliau berkata PTPTN bukan hanya membantu anak-anak bumiputera dan Melayu sahaja, tetapi pelajar bukan bumiputera dan kaum lain turut menikmati manfaat daripada tabung berkenaan.

"PTPTN merupakan landasan masa depan pelajar-pelajar ini untuk membantu ibu bapa mereka kelak dan adalah tidak wajar sekiranya ia dihapuskan," katanya.

Mohd Shafie berkata ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan seorang yang tidak konsisten dan tidak boleh dipercayai apabila mencadangkan pemansuhan PTPTN itu sedangkan beliau salah seorang pengasas penubuhan tabung itu iaitu ketika memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan pada tahun 1997.

"Anwar tidak konsisten dan bila orang tidak konsisten dari segi kata dan perilaku, kita tidak boleh percaya dan yakin padanya," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai proses pemilihan calon pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti, Mohd Shafie yang juga Naib Presiden Umno berkata segala keputusan itu akan ditetapkan sendiri oleh Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya calon dipilih nanti bukan sahaja mewakili parti tetapi turut diterima rakyat sebagai pemimpin yang sentiasa turun padang dan menyelesaikan masalah mereka.

"Bagaimanapun saya menganggap persiapan PRU-13 kali ini cukup baik dan bersedia pada bila-bila masa berbanding pilihan raya umum sebelum ini," katanya. - Bernama

Comments