KRISIS DALAMAN PARTI, PAS KEDAH ABAIKAN RAKYAT!!


Krisis pentadbiran yang melanda negeri Kedah di bawah pentadbiran PAS tidak seharusnya dibebankan ke atas rakyat di negeri itu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, rakyat tidak sepatutnya menjadi mangsa keadaan apabila diheret sama ke dalam masalah pengurusan yang sedang dialami kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat itu.

"Kita tak mahu dituduh menjaga tepi kain orang. Jadi kita tak mahu campur hal mereka. Kekecewaan saya sebenarnya ialah apabila mereka berhadapan dengan krisis dalaman seperti itu, kerja-kerja berkhidmat untuk rakyat tidak dilaksanakan. Contohnya, sampah-sampah tidak dikutip, masalah air dan sebagainya.

"Kalaupun ada masalah dalaman, selesaikanlah cepat-cepat supaya rakyat tidak dibelenggu dengan masalah-masalah perkhidmatan yang berada pada tahap yang begitu rendah berbanding dengan zaman Barisan Nasional dulu," katanya ketika ditemui di sidang media selepas merasmikan World Halal Research Summit 2012 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.



Terdahulu, media melaporkan krisis dalaman kerajaan Kedah berikutan penolakan dua Exco terhadap pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Kemelut yang berlarutan itu memaksa PAS Pusat campur tangan dengan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu yang dipertanggungjawabkan memantau pentadbiran Azizan, sekaligus menghadkan kuasa beliau.

Krisis yang berlarutan beberapa lama itu dilihat selesai apabila kedua-dua Exco berkenaan Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh bersetuju untuk dilantik semula sebagai Exco setelah diarahkan berbuat demikian oleh PAS Pusat.

Phahrolrazi dan Ismail dijadual menghadiri upacara angkat sumpah bagi menyambung tugas mereka sebagai Exco esok.

Walau bagaimanapun,Phahrolrazi ketika dihubungi berkata, beliau masih tidak mengetahui apakah portfolio yang bakal diberikan kepadanya.

Sementara itu ketika diminta mengulas sikap berdiam diri pemimpin PAS Pulau Pinang bersabit dakwaan kerajaan negeri itu telah menjual tapak dan sekolah di Bayan Mutiara,Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, hal berkaitan dengan isu agama Islam harus didahulukan dan mestilah dikendalikan secara berhemah.

"Secara amnya, saya lihat isu ini tidak dikendalikan dengan berhemah. Isu-isu seperti ini sepatutnya dapat diselesaikan dengan baik. Tetapi, ia timbul dari semasa ke semasa. Bukan itu saja, contohnya masalah Madrasah Salihiah di Alor Setar. Ini amat mengewakan kita kerana kerajaan PAS di Kedah khususnya, dianggap sebagai parti yang sepatutnya meletakkan agama Islam terdahulu daripada perkara lain. Saya tak tahulah apa yang mereka lakukan sebenarnya," katanya.

Beberapa portal sebelum ini melaporkan kekesalan Umno Pulau Pinang terhadap sikap pemimpin PAS di negeri itu yang mengambil sikap menutup mulut mengenai dakwaan kerajaan negeri telah menjual tapak masjid dan sekolah di George Town itu. -antarapos

.

Comments