..

UNDER CONSTRUCTIONS...


Presiden pertubuhan bukan kerajaan Jalur Tiga (JATI) Datuk Dr Hasan Ali memfailkan saman terhadap Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad kerana memfitnahnya.

Kedua-dua saman itu difailkan masing-masing di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 April lepas menerusi firma guaman Kamarul Hisham & Hasnal Rezua.

Hassan berkata saman terhadap mereka dibuat berikutan fitnah yang dilemparkan terhadapnya kononnya segala aktiviti dan 'roadshow' JATI mendapat dana daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berjumlah RM30 juta serta tajaan syarikat-syarikat tertentu.

"Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh kedua-dua ahli Parlimen Pokok Sena (Mahfuz) dan Shah Alam (Khalid) adalah berniat jahat, tidak berasas dan ditimbulkan sebagai sesuatu yang dirancang bagi memburukkan nama baik saya, JATI yang saya tubuhkan dan sekaligus cuba untuk merosakkan karier politik saya.

"Barisan peguam saya mendapati saya mempunyai kes yang cukup kuat untuk membawa kedua-dua ahli Parlimen tersebut ke mahkamah," katanya dalam sidang media di kediamannya, di sini hari ini.

Bekas Exco kerajaan negeri Selangor dan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu berkata keputusan untuk membawa kes itu ke mahkamah bertujuan membersihkan nama baiknya dan pertubuhan yang dipimpinnya.

Hasan juga berhasrat untuk menjadikan kes itu sebagai pengajaran kepada kedua-dua pemimpin politik itu yang disifatkannya sebagai celupar dan sering mengeluarkan kenyataan tanpa usul periksa.

Mahfuz sebelum ini dalam laman portal pembangkang mendakwa terdapat unit di bawah KBS telah menyumbang sebanyak RM30 juta bagi menaja siri ceramah Hasan di seluruh negara bagi menarik golongan muda memihak kepada kerajaan.

Khalid pula mendakwa Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Puncak Niaga Bhd sebagai penaja kepada Hasan dan juga JATI.

Sementara itu, peguam Hasan yang turut hadir dalam sidang media itu, Hasnal Rezua Merican berkata dalam saman itu, pihaknya memohon ganti rugi am, teruk, teladan serta injunksi bagi menghalang kedua-dua anggota Parlimen itu mengulangi dakwaan yang dibuat sebelum ini. Tiada jumlah saman dinyatakan.

Katanya writ saman telahpun diserahkan kepada Khalid manakala writ saman kepada Mahfuz masih belum dapat diserahkan kepadanya secara peribadi dan dihantar menerusi mahkamah ke alamat kediaman beliau.- Bernama

0 das tembakan!:

 
Top