#FIQH - ANTARA PRU & IBADAH HAJI... MASYARAKAT ZAMAN INI SEMAKIN JAHIL!!


Mantan Timbalan Syeikhul Azhar, Mesir menyatakan, Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) Malaysia tidak akan terjejas walaupun ada rakyat Malaysia yang menjalankan ibadah Haji pada tahun ini.

Syeikh Mahmoud Abdel Ghani Mahmoud Ashour dalam pembentangan kertas kerjanya di ‘Seminar Antarabangsa: Fiqh Mentaati Pemimpin’ hari ini berkata, jemaah haji tidak perlu menangguhkan menunaikan ibadah Haji hanya semata-mata kerana menunggu PRU diadakan.

Beliau memberikan pandangan tersebut berikutan terdapat segelintir pihak-pihak yang sanggup menangguhkan perlaksanaan ibadah Haji hanya kerana PRU.

“Tidak perlu tunggu PRU. Rakyat Malaysia yang menunaikan ibadah Haji bukanlah mencecah sehingga 100,000 orang yang menunaikannya.

“Jadi, proses PRU langsung tidak akan terbantut dan terjejas. Tidak ada kejadian bertindih antara PRU dan menunaikan Haji,” kata Syeikh Mahmoud di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Bagi beliau, sekiranya rakyat sudah pun mempunyai kewangan yang cukup dan tahap kesihatan berada dalam keadaan baik, maka ibadah suci itu wajib dilakukan.

“Ibadah Haji adalah fardhu yang mempunyai satu tempoh. Allah S.W.T sendiri mengatakan, sekiranya manusia itu sudah cukup sumber kewangan dan mempunyai keadaan fizikal yang kuat, hendaklah dia menunaikannya.

“Jika tidak, tunggulah sehingga berkemampuan. Jadi, janganlah berfikir sedemikian hingga sanggup mengetepikan ibadah yang wajib,” katanya.

Selain itu, beliau menyifatkan masyarakat di zaman ini semakin jahil hingga tidak dapat membezakan yang mana wajib dan tidak.

Syeikh Mahmoud Abdel Ghani Mahmoud Ashour adalah salah seorang pembentang kertas kerja dalam Seminar Antarabangsa: Fiqh Mentaati Pemimpin.

Menjadi pembentang yang pertama, Syeikh Mahmoud membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Fiqh Mentaati Pemimpin’ pada pagi ini di PWTC. -mynewshub


.


Comments