MESTI TONTON - ISTANA BUDAYA AKAN PENTASKAN KISAH HIDUP TUN SITI HASMAH!!


Kisah hidup wanita ternama Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali mahu dipentaskan. Bagi rakyat Malaysia, Siti Hasmah adalah wanita ikonik dan cukup sinonim dengan seluruh rakyat. Beliau secara kasar, lebih dikenali sebagai isteri mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Namun apabila pihak produksi World Islamic Network Television Sdn Bhd (WINTV) mahu mementaskan riwayat hidupnya di Istana Budaya pada 30 Ogos hingga 8 September nanti, ada permintaan daripada Siti Hasmah. Jika boleh, beliau mahu pementasan tersebut lebih memberi fokus terhadap kariernya sebagai pegawai kesihatan, berbanding mengangkat kisah hidupnya sebagai isteri kepada mantan perdana menteri.

"Secara jujur, saya segan sebab bila pihak produksi datang kepada saya dengan niat mahu mementaskan kisah hidup saya. Pada hemat saya, saya tidak mempunyai sejarah penting untuk dipentaskan. Saya hanya wanita biasa. Namun selepas dipujuk, saya beralah. Saya harap agar pementasan itu kelak lebih memberi fokus kepada karier saya berbanding kehidupan saya sebagai isteri Tun Mahatdir," katanya yang mengambil masa setahun untuk memberi persetujuan agar kehidupannya boleh divisualkan kepada umum.

Ujar Siti Hasmah lagi, beliau mahu kisah kariernya sebagai pegawai kesihatan diberi fokus kerana itu adalah satu sumbangan besar yang telah diberi sepanjang beliau berkhidmat untuk masyarakat. Malah, yang paling membanggakan apabila beliau dan pasukannya mampu menukar mentaliti para ibu untuk mendapatkan khidmat bidan terlatih daripada hospital berbanding menggunakan bidan kampung.

Tambahnya juga, jika boleh biarlah masyarakat mengenal dirinya sebagai seorang isteri yang taat kepada suami dan hidup bahagia.

Sementara itu, Erra yang akan membawa watak Tun Siti Hasmah dalam pementasan tersebut berkata ia umpama satu tanggungjawab besar yang harus dilaksana dengan baik. Sementelah, tuan punya badan masih hidup dan ada banyak individu yang boleh memberi komen selepas melihat lakonannya kelak.

"Saya teruja tetapi gementar. Membawa karakter Tun Siti Hasmah adalah tugas besar untuk saya. Lagi pula saya bimbang tidak mampu mencapai piawaian kerana apabila ia dipentaskan kelak, tentulah individu-individu yang hampir dengan beliau seperti Tun Mahathir sendiri dan anak-anak mereka lebih mengenal perwatakan Tun Siti Hasmah. Jadi hanya berharap mampu buat yang terbaik," ujar Erra yang melakukan banyak kajian termasuk perlu berbicara lebih lanjut dengan wanita berusia 85 tahun itu untuk mengetahui kisah dirinya.

Bagi Tun Mahathir pula, beliau mengaku tidak gemar untuk berkongsi kisah peribadinya kepada umum.
Ujarnya: "Saya malu. Saya tak biasa bercerita tentang hal peribadi kepada umum, tapi saya tak kisah untuk berbicara soal politik atau negara."

Tun Mahathir bagaimanapun sempat berkongsi sedikit cerita tentang cinta beliau dan Siti Hasmah. Mereka yang meraikan perkahwinan selama lima hari lima malam pada awalnya kurang mendapat sokongan untuk berkahwin.

"Tradisi keluarga saya, ibu bapa yang akan memilih bakal menantu dalam keluarga. Berbeza dengan saya, saya pulang ke kampung sudah membawa calon siapa yang akan saya nikahi. Ada yang okay, ada yang kurang setuju, tapi akhirnya kami tetap berkahwin," ujar Tun Mahathir yang memanggil Siti Hasmah dengan panggilan “yang” iaitu singkatan daripada perkataan sayang. -YE

Comments

Kama At-Tarawis said…
istana budaya daa... :-D