..

UNDER CONSTRUCTIONS...


PKR Selangor mendesak Tan Sri Khalid Ibrahim untuk menggantung sementara Faekah Husin dan menyiasat sama ada Setiausaha Politiknya itu salah menggunakan kuasa berhubung isu penggunaan kepala surat Pejabat Menteri Besar.

Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafie berkata Khalid harus konsisten dengan tindakan dan kenyataan-kenyataannya sebelum ini dan patut mencadangkan siasatan penuh terhadap Faekah.

“Saya rasa adalah lebih baik digantung dulu tugas pegawai yang terlibat (Faekah) supaya siasatan dapat dilakukan. Untuk mengelakkan rasa tidak puas hati... saya berpandangan elok digantung dulu seperti kes-kes sebelum ini dan tindakan itu dilihat jauh lebih konsisten," kata beliau kepada Antarapos.

"Jadi tidaklah nanti menjadi tuduhan-tuduhan besar, Menteri Besar melindungi Setiausha Politiknya," kata beliau.


Faekah dituduh menggunakan kepala surat pejabat Menteri Besar untuk “menasihati” Perbadanan Nasional Selangor Berhad (PNSB) melantik firma anak saudaranya sebagai panel guaman.

Faekah mengaku menulis surat sokongan itu tetapi menafikan sebarang salah guna kuasa. Khalid mempertahankan Faekah dengan mendakwa bahawa surat itu hanya bertujuan “memanjangkan” permohonan firma anak saudara Faekah kepada PNSB.

Bagaimanapun Shuhaimi mempertikaikan pendirian Khalid dan Faekah itu dengan merujuk perenggan terakhir surat yang ditulis oleh Faekah kepada Ketua Pegawai Eksekutif PNSB Datuk Ahmad Bin Omar.

Perenggan itu berbunyi: "Pentadbiran ini (Tan Sri Abdul Khalid) juga berpandangan bahawa peluang HARUS diberikan (kepada syarikat Zeenat Asyiqin & Associates) selagi ia tidak menyalahi mana-mana peraturan syarikat."

Shuhaimi berkata perenggan itu tidak kena pada tempatnya kerana boleh diibaratkan sebagai cubaan mempengaruhi proses dalaman PNSB melantik panel guamannya.

"Cuma dalam para keempat (surat Faekah kepada PNSB), sepatutnya tidak harus wujud begitu. Dia sepatutnya terus mengatakan mesti tiada halangan meyokong tertakluk kepada syarat-syarat tertentu dan itu lebih lunak dan tidak mengganggu syarikat (PNSB)," kata Shuhaimi yang juga ADUN Sri Muda.

Shuhaimi menegaskan hakikat bahawa surat itu dikeluarkan daripada Pejabat Menteri Besar sendiri boleh menimbulkan tanggapan bahawa ia bermaksud "untuk diberi lantikan kepada syarikat yang terlibat," kata beliau.

Beliau juga akur bahawa Khalid sebelum ini dilaporkan mengeluarkan arahan melarang surat-surat sokongan daripada jentera kerajaan negeri kepada individu dan syarikat yang mahu mendapatkan projek dan tender kerajaan negeri.

"Saya ingin menegaskan jika Datuk Menteri Besar pernah mengeluarkan arahan tidak memberikan kebenaran surat-surat sokongan dikeluarkan dalam bentuk perniagaan... dalam kes ini surat yang dikeluarkan itu nampaknya sudah bertentangan dengan arahan yang dikeluarkan," kata beliau.

Beliau berkata adun-adun Pakatan Rakyat masih mengeluarkan surat sokongan namun dengan peruntukan-peruntukan jelas.

"Bagi kita ADUN, memanjangkan surat atau memberi surat sokongan adalah satu perkara biasa. Kebiasannya kalau kita menulis surat permohonan ini... terpulanglah kepada syarikat yang terbabit samada memanggil pemohon-pemohon itu untuk dipertimbangkan atau ditolak," kata Shuhaimi.

Pada tahun 2010, kerajaan negeri pimpinan Khalid memecat seorang Ahli Majlis Perbandaran Kelang kerana mengeluarkan surat sokongan kepada syarikat milik anaknya untuk mendapatkan kontrak pungutan sampah.

Khalid ketika itu mengumumkan bahawa Tee Boon Hock, pembantu kepada Exco Kerajaan Negeri Ronie Liu, melanggar etika kerana mengeluarkan surat sokongan itu. Tee juga dipecat daripada parti manakala Ronie diberi amaran keras oleh DAP.

Sebelum itu, Khalid Ibrahim juga menggantung tugas Pegawai Khas beliau sendiri, Mohd Yahya Sahri kerana menyalahguna kepala surat Pejabat MB Selangor untuk tujuan mengutip derma dari syarikat swasta bagi sambutan 100 hari pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor.

Mohd Yahya Sahri juga dituduh menyalahguna kepala surat berkait dengan kelulusan kontrak pembersihan dan pelupusan sampah di kawasan Petaling Jaya. Beliau meletak jawatan pada Jun 2008.

Shuhaimi berkata Khalid harus konsisten dalam menangani isu penggunaan kepala surat Menteri Besar oleh Faekah demi mempertahankan kewibawaan kerajaan negeri.

"Kalau kita lihat seperti kes sebelum ini, maka adalah lebih baik kita konsisten dengan keputusan itu dan sewajarnya pegawai yang terlibat digantung daripada tugasnya untuk diadakan satu sisatan dalaman bagi membersihkan nama pegawai yang terlibat," kata beliau. -antarapos

0 das tembakan!:

 
Top