PENGARAH STRATEGI PKR NAFIKAN STRATEGI MELETAKKAN JAWATAN??


Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli terus menafikan tindakannya meletakkan jawatan sebagai Ketua Eksekutif Penasihat Ekonomi Negeri Selangor adalah petanda keretakan di dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Menurut beliau, tumpuan kini beralih kepada perancangan serta penyusunan strategi parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Saya yakin masa dan tenaga saya lebih baik ditumpukan kepada usaha merancang kempen KEADILAN dan menyusun strategi menghadapi pilihan raya," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, sebentar tadi.


Rafizi seterusnya menyifatkan keputusannya merupakan keputusan peribadi yang telah dirancang demi menumpukan perhatian kepada usaha melakar kemenangan lebih besar buat Pakatan Rakyat pada pilihan raya nanti.

Beliau kemudian menolak dakwaan yang cuba dikaitkan dengan isu "lompat parti".

"Selain mahu menumpukan sepenuhnya kepada usaha menumbangkan BN, saya juga mahu terus kekal dengan idealisme dan perjuangan reformasi," jelasnya kepada media.

Mengulas lanjut, perletakan jawatan itu disifatkan akan memberi lebih masa untuk beliau meneliti pelbagai fail penyelewengan yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) yang akan membongkarkannya dalam masa terdekat.

Kata beliau lagi, pendedahan tersebut merupakan balasan terhadap tindakan Umno yang didakwa memutar belit fakta keputusan beliau menarik diri dari jawatan kerajaan Selangor.

Selain daripada itu, Rafizi turut menolak spekulasi mempunyai masalah dengan Setiausaha politik Menteri Besar Selangor, Faekah Hussin.

"Siapa kata? siapa kata saya tidak boleh bertentang mata dengan Faekah? Berikan saya bukti, berikan saya kenyataan itu," Ujar beliau menjawab pertanyaan wartawan.

Tambahnya lagi mulai esok, beliau akan duduk berbincang dengan Faekah untuk sama-sama meneliti fail penyelewengan yang berlaku di bawah pentadbiran BN di Selangor dahulu.

Rafizi hari ini mendedahkan skandal kontrak pembinaan projek tambahan sistem LRT Ampang yang didakwa turut melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengarah Strategi PKR itu pada minggu lalu meletakkan jawatan daripada pentadbiran kerajaan negeri Selangor atas alasan untuk menumpukan kepada ibadah puasa.

Tindakan Rafizi sekaligus mencetuskan spekulasi yang turut dikaitkan dengan krisis dalaman kerajaan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang kini mempersoalkan "kuasa melampau" Faekah berhubung sebarang keputusan pentadbiran negeri itu.

Comments