Undang-und​ang Anti Lompat Parti Pulau Pinang Tak Sah! - Karpal Singh


Undang-undang anti lompat parti yang diluluskan kerajaan DAP dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Khamis, tidak sah? Biar betul...tetapi tak kan Ketua Menteri, Lim Guan Eng nak nafikan apa Pengerusi DAP, Karpal Singh pernah maklumkan pada awal September lalu, bahawa undang-undang anti lompat parti tidak sah kerana bertentangan Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai peguam tersohor, Karpal ketika itu menjelaskan cadangan kerajaan DAP Pulau Pinang membawa enakmen undang-undang anti lompat untuk dibincangan dalam DUN, November depan, tidak sah.

Katanya, undang-undang anti lompat parti adalah tidak sah kecuali Perlembagaan Persekutuan dipinda terlebih dahulu.

Dalam erti kata lain, Karpal berkata, tiada negeri mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang anti lompat parti dan jika ia berlaku, ia akan dianggap tidak mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

Karpal yang juga ahli parlimen Bukit Gelogur membuat kenyataan itu dengan merujuk keputusan Mahkamah Agung memutuskan undang-undang anti lompat parti yang diluluskan DUN Kelantan pada 1992 tidak sah di sisi Perlembagaan kerana bertentangan dengan Perkara 10(1)(c).

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang mempunyai pilihan untuk membawa isu berkenaan ke Mahkamah Persekutuan untuk mengkaji semula keputusan Mahkamah Agung pada 1992 itu.

Ahli Parlimen Bebas kawasan Kulim Bandar Bahru, Datuk Zulkifli Noordin turut menyentuh perkara ini dalam tulisan terbaru di blognya, Jumaat.

Katanya, peruntukkan Perlembagaan Persekutuan memberikan hak kebebasan memilih mana-mana aliran politik kepada mana-mana warganegara Malaysia termasuk wakil rakyat!

Menurut Zulkifli, dunia sedang melihat amalan politik hipokrit paling melucukan dan undang-undang anti-lompat ciptaan Guan Eng ini sebenarnya adalah satu penghinaan kepada PKR dan PAS menunjukkan DAP tidak percaya rakan ‘sebantal’.

Apatah lagi dengan terbongkarnya rakaman mesyuarat PKR Negeri Pulau Pinang, apabila Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Pulau Pinang yang juga Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Osman mempersoalkan kepimpinan Guan Eng.

“Sangat jelas ayat Mansor Osman memberi deskripsi politik anak jantan Kit Siang ini, "Guan Eng ni very Cocky, Arrogant & Tokong"! Cukup sinonim dengan label Kerajaan CAT yang dilaungkan Guan Eng!

“Dan mengapa Mansor bercakap begitu! Kerana Guan Eng mendesak untuk DAP bertanding di 22 kerusi dalam PRU 13, iaitu tambahan 3 daripada 19 yang mereka ada. Dan tiga kerusi itu adalah milik PKR!,” kata Zulkifli.

Tambahnya lagi, kenapa Guan Eng mahukan 3 kerusi itu. Mansor sendiri menjawabnya; "kerana dia mahu DAP menjadi Kerajaan sendiri. Kerana dengan 22 kerusi sudah cukop untuk Guan Eng membentuk Kerajaan Negeri DAP! Jadi dia tidak perlukan kita (PKR & PAS) nanti!".

Nah, itulah rahsia sebenar mengapa Guan Eng terhegeh-hegeh mahukan undang-undang anti-lompat! Bukan sebab prinsip. Tapi sebab takut hilang kerajaan!

Justeru itu, memang tepat apa dikatakan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bahawa langkah kerajaan DAP Pulau Pinang meluluskan rang undang-undang antilompat hanyalah ‘GEMPAK POLITIK’, pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Itu semua gempak politik, sandiwara Guan Eng...dia cari macam-macam isu... nak mempopularkan diri dia sendiri," katanya kepada pemberita di Sungai Ara, Pulau Pinang, Jumaat.

Shahrizat berkata tindakan itu juga jelas menunjukkan Lim sudah hilang keyakinan terhadap anggota parti pakatan pembangkang dan pentadbirannya.

"Dia takut orang belah (tinggalkan) parti dia, konco-konco dia lari. Sebab itu dia nak kunci dari sekarang. Saya nak persoalkan nawaitu Guan Eng adakah ini betul-betul proses demokrasi atau dia betul-betul takut habis," katanya.

Lepas ini tentu seronok tengok macam mana Guan Eng nak tolak hujah Karpal pasal undang-undang itu yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan itu.

Nak dengar juga komen Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dulu heboh kononnya ada ahli parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan lompat parti sertai pembangkang ketika Pelan 16 September 2008.

Anwar yang masih bercita-cita jadi Perdana Menteri tentu tak setuju apa dilakukan Guan Eng kerana beliau amat berharap ada lagi ahli parlimen BN keluar parti sokongnya.

Pemimpin-pemimpin UMNO atau BN di Pulau Pinang pun tak kan nak duduk diam saja.

Kalau pemimpin pembangkang sibuk nak bawa segala macam hal ke mahkamah, inilah masa ‘ada ubi, ada batas’.

PAS ada Baiah cerai talak tiga, DAP ada undang-und​ang anti lompat parti

Jika PAS ada amalan Baiah atau sumpah taat setia cerai talak tiga ke atas wakil rakyat PAS yang ‘lompat’ atau ‘keluar’ parti, kerajaan DAP Pulau Pinang ada undang-undang anti lompat parti yang diluluskan Dewan Undangan Negeri, Khamis.

Rang undang-undang 'Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012' bertujuan membanteras amalan melompat parti untuk mendapatkan habuan dibentangkan Ketua Menteri Lim Guan Eng itu dibahaskan dalam tempoh sehari sebelum diluluskan dengan undian dua pertiga.

Dalam pembentangannya Guan Eng berkata, rang undang-undang itu telah digubal dengan kerjasama dan sokongan penuh semua parti dalam Pakatan Rakyat di Pulau Pinang. Ia bertujuan membanteras budaya tidak sihat dan tidak beretika.

"Dari awal lagi dasar kami untuk membanteras budaya lompat telah ditentang keras tetapi pendirian kami adalah bahawa hak membuat keputusan muktamad dalam pilihan raya adalah hak rakyat,” katanya.

Menurut Lim yang juga Setiausaha Agung DAP, rang undang-undang itu memperuntukkan bahawa seseorang anggota dewan yang telah dipilih sebagai calon sesebuah parti politik hendaklah mengosongkan kerusinya sekiranya dia melepaskan atau dilucutkan keanggotaannya atau berhenti daripada menjadi anggota parti politik tersebut atas apa-apa juga sebab.

Selain itu, katanya, seorang anggota yang dipilih sebagai calon bebas hendaklah mengosongkan kerusinya sekiranya beliau menyertai suatu parti politik.

Langkah kerajaan DAP Pulau Pinang itu untuk mengelak kejadian wakil rakyat parti itu di Perak keluar parti dan menyebabkan kerajaan PAS Perak tumbang dan kembali kepada Barisan Nasional, empat tahun lalu.

Adun DAP Jelapang, Datuk Hee Yit Fong bertindak keluar parti itu dan kemudian diikuti rakan beliau,Adun Malin Nawar, Keshvinder Singh.

Kedua-dua mereka memberikan sokongan kepada Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Huan Cheng Guan mencabar Guan Eng meminda undang-undang menolak orang luar bertanding di Pulau Pinang.

“Kalau beliau berani, saya cabar dia buat undang-undang supaya bukan anak negeri dilarang bertanding di Pulau Pinang,” katanya kepada Agendadaily.

Menurut bekas pemimpin Gerakan itu, jika Guan Eng berani melaksanakan undang-undang anti lompat parti, beliau juga kena berani buat undang-undang yang dicadangkannya itu.

Untuk rekod, Guan Eng bukan anak jati Pulau Pinang. –agendadaily

Comments