#PrkBukitGelugor: 3 Hari Untuk @HonWai_Wong Tarik Balik Kenyataan Atau Saman?? @Huan2u #BukitGelugor


21 Mei - Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan memberi tempoh sehingga Sabtu ini kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Itam, Wong Hon Wai memohon maaf dan menarik semula dakwaan kononnya beliau tidak pernah menyumbang kepada masyarakat Cina sewaktu menjadi Ahli Parlimen Batu Kawan.

Cheng Guan yang juga calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya Hon Wai yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng gagal berbuat demikian.

Menurutnya, dakwaan Hon Wai itu tidak berasas dan berniat jahat kerana beliau ketika menjadi Ahli Parlimen Batu Kawan antara 2004 hingga 2008 banyak menyumbang kepada masyarakat Cina seperti dilaporkan media ketika itu.

"Saya boleh sertakan bukti yang menunjukkan saya banyak membantu masyarakat tanpa mengira kaum ketika menjadi Ahli Parlimen Batu Kawan termasuk mendapatkan dana bagi membangunkan sekolah-sekolah Cina," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Cheng Guan mengulas laporan sebuah akhbar Cina semalam yang memetik kenyataan Hon Wai yang mendakwa beliau tidak menyumbang ketika bergelar Ahli Parlimen Batu Kawan.

Dalam perkembangan berkaitan, Cheng Guan mencabar calon DAP dalam PRK berkenaan, Ramkarpal Singh Deo mengambil tindakan undang-undang terhadapnya sekira-nya mempunyai bukti beliau pernah mendakwa anak ketiga Karpal Singh itu seorang gay.

Menurutnya, beliau tidak akan sesekali menggunakan strategi murahan menyerang peribadi mana-mana calon yang bertanding dalam PRK berkenaan termasuk mempertikai orientasi seksual Ramkarpal yang sehingga kini masih bujang.

Sehubungan itu juga, tambah-nya, beliau turut akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mendakwa beliau pernah membuat tuduhan seperti itu terhadap Ramkarpal. -UM

Comments