#Parlimen: Undi Tidak Percaya Gagal, Senarai Nama Tidak Cukup


Yang diPertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengesahkan beliau masih menunggu senarai nama dari blok pembangkang yang menunjukkan mereka mempunyai majoriti untuk membawa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jelas Pandikar, beliau kini hanya menerima 89 nama dan masih belum ada sebarang penambahan nama sehingga hari ini.

"Apabila mereka boleh beri senarai nama kepada saya, baru saya boleh menekan kerajaan untuk membahaskan usul tersebut," kata Pandikar di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau memberi contoh ketika pertukaran kuasa di Sabah pada tahun 1994 ketika pentadbiran Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

"Apa yang dibuat oleh blok pembangkang ketika itu adalah membuat senarai nama wakil rakyat yang tidak menyokong Pairin.

"Selepas Pairin melihat beliau telah kehilangan majoriti, beliau bertemu Yang diPertua Negeri Sabah untuk mengusulkan pembubaran Dewan Undangan Negeri," kata Pandikar.

Namun, ketika itu, Yang diPertua menolak permohonan Pairin atas alasan beliau telah kehilangan sokongan majoriti dan jika diadakan pilihanraya sekalipun, keputusannya mungkin sama.

Pandikar diminta memberi respon terhadap usul undi tidak percaya yang akan difailkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Comments