Malaysia Boleh Keluar TPPA Jika Bawa Keburukan - @AhmadMaslan


MALAYSIA masih mempunyai pilihan untuk menarik diri daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sekiranya kerajaan mendapati perjanjian itu membawa lebih keburukan berbanding kebaikan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan berkata walaupun telah menandatangi TPPA, Malaysia boleh berbuat demikian dengan syarat memberi notis enam bulan kepada Suruhanjaya TPPA seperti yang termaktub dalam Artikel 30.6 perjanjian TPP.

“Sekiranya didapati ia hanya mendatangkan lebih banyak keburukan kepada negara, Malaysia boleh membawa perkara ini ke perhatian negara-negara TPPA yang lain melalui Suruhanjaya TPPA bagi membincangkan jalan penyelesaian atau membantu Malaysia dalam mengatasi kesulitan jika ada, akibat TPPA.

“Jika Malaysia merasakan bahawa jalan penyelesaian tidak memadai, Malaysia menpunyai pilihan terakhir untuk menarik diri daripada perjanjian TPP,” katanya menjawab soalan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) berkenaan isu tersebut.

Ahmad Maslan berkata Suruhanjaya TPPA itu akan diwujudkan selepas perjanjian berkuat kuasa pada 2018.

Beliau berkata TPPA juga memperuntuk klausa semakan semula bagi menangani masalah yang dihadapi negara TPPA, yang akan dijalankan tiga tahun selepas perjanjian berkuat kuasa dan sekurang-kurangnya setiap lima tahun berikutnya.

Ahmad Maslan juga menafikan bahawa bahagian ‘penyelesaian pertikaian pelabur-negara’ (ISDS) dalam TPPA hanya memanfaatkan pelabur asing di negara ini.

Katanya klausa ISDS perlu dan penting kerana peruntukan itu turut melindungi pelabur-pelabur besar Malaysia yang sudah bertapak dan berkembang di negara TPPA. -bernama

Comments