..

UNDER CONSTRUCTIONS...


11.11.11 dan PRU 13

Agak lama penulisan saya tidak menjurus secara langsung berkaitan politik. Namun, dengan beberapa artikel yang ditulis oleh penulis-penulis ‘besar’, keinginan untuk saya menyentuh perihal politik kembali meluap.

Isunya tidak lain dan tidak bukan adalah berkisar akan politik negara yang di ambang pilihanraya umum, bakal berlangsung pada bila-bila masa menantikan wisel ditiup oleh ketua barisan ahli parlimen yang membentuk kerajaan persekutuan, Malaysia - YAB Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tarikh Pembubaran Dewan Parlimen

Telah saya nukilkan, di dalam “11.11.11 bukan tarikh pilihanraya” bertarikh 20hb September iaitu kira-kira satu setengah bulan yang lalu, bahawa amatlah mustahil pilihanraya akan diadakan pada tarikh tersebut.

Walaupun umum maklum, bahawa 11 merupakan angka teristimewa buat Najib Tun Razak, namun tidak mungkin ia terlakar dalam sejarah Malaysia sebagai tarikh pilihanraya umum kali ke-13 atau tercatat sebagai sejarah tarikh pilihanraya pertama diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-6.

Bahkan, di dalam penulisan saya di atas, saya turut menyangkal tarikh tersebut dipilih bersandarkan fakta bahawa 11 November itu jatuhnya bersamaan dengan hari Jumaat.

Namun, yang paling penting sekali dalam menguatkan hujah saya bahawa 11.11.11 bukanlah tarikh pilihanraya adalah bersandarkan kepada tiga (3) perkara utama yang perlu Najib selesaikan selaku Perdana Menteri Malaysia merangkap Presiden UMNO, iaitu; pertama, memulakan dan menyelesaikan persidangan parlimen (yang kini dalam pertengahan persidangan), kedua, membentangkan Belanjawan Negara bagi tahun 2012 (yang telah pun selesai dibentangkan dan menunggu untuk diluluskan) dan yang ketiga, menyelesaikan Perhimpunan Agung UMNO 2011 (bakal berlangsung pada hujung bulan ini).

Dengan tinggal baki tiga (3) hari dari tarikh ‘teristimewa’ buat Najib Tun Razak tersebut dan tiada pengumuman pembubaran dewan parlimen yang dibuat, maka keta’akulan saya benar bahawa tidak mungkin 11.11.11 menjadi tarikh keramat bagi pilihanraya umum ke-13.

Namun, di hujung penulisan tersebut, saya sedikit bermain teka-teki apabila memaklumkan bahawa tarikh tersebut mungkin sahaja benar menjadi tarikh ‘keramat’ jika ia menjadi tarikh pilihan Najib bagi mengumumkan pembubaran dewan parlimen. Bukankah telah saya nyatakan, semoga Najib mendapat ‘ilham’ sesudah selesai mengerjakan rukun ibadah yang ke-5 iaitu haji?

Pembangkang Mula Terasa Tekanan PRU-13

Umum maklum, pembangkang mula terasa bahang pilihanraya tak kala Belanjawan 2012 yang dibentangkan menunjukkan ianya lebih kepada ‘belanjawan rakyat’ dengan petunjuk nyata iaitu peruntukan terus atau ‘one-off’ yang begitu banyak diberikan kepada mereka (rakyat).

Akhbar-akhbar berbahasa Cina kuat menghentam belanjawan tersebut sebagai belanjawan ‘gula-gula’ yang memainkan sentimen rakyat agar memberi undi kepada barisan parti yang membentuk kerajaan sedia ada, Barisan Nasional (BN).

Di samping itu, Lim Guan Eng turut mengancam untuk tidak membubarkan dewan undangan negeri jika pilihanraya diadakan pada waktu terdekat ini.

Saya teringat, sewaktu Najib merasmikan Perhimpunan Penulis Maya di Kuala Lumpur International Hotel baru-baru ini, beliau bertanya, apakah pembangkang tidak sedar bahawa jika belanjawan yang beliau bentangkan di dalam dewan parlimen tersebut dianggap oleh sesetengah pihak terutamanya pembangkang sebagai belanjawan yang menggula-gulakan rakyat dan seterusnya mampu mem-bankrupkan negara, apakah tidak bermakna Buku Jingga yang penuh dengan ‘janji-janji manis’ pembangkang lebih dari mem-bankrupkan negara?

Bila mana belanjawan tersebut dilihat sebagai satu langkah ‘check-mate’ kepada Buku Jingga pakatan pembangkang, mereka mula melakukan serangan-serangan lain termasuklah mengambil Laporan Audit Negara (PAC) bagi tahun 2010 sebagai bahan untuk merekayasakan kecacatan pentadbiran kerajaan di bawah BN.

Maka timbullah ayat-ayat seperti ‘ketirisan’, ‘pemborosan’, ‘kakitangan kerajaan yang tidak cekap dan amanah’, ‘double-standard dalam melakukan siasatan kepada kakitangan awam oleh SPRM’ dan berbagai lagi didendangkan oleh pakatan pembangkang.

Namun, tujuan dendangan tersebut dilagukan tidak lain dan tidak bukan hanyalah bagi mengalih perhatian rakyat yang mula merasai nikmat atau faedah dari kerapatan masa pilihanraya umum ke-13.

Pada masa rakyat mula menikmati berbagai faedah langsung mahu pun tidak langsung seperti peruntukan-peruntukan tambahan yang mula mengalir ke bawah, lagu-lagu korupsi turut dinyanyikan oleh jentera pembangkang bagi membangkitkan perasaan rakyat agar jelek dengan pemberian-pemberian tersebut.

Rakyat turut dibisikkan bahawa segala peruntukan tersebut adalah peruntukan wajib yang mereka perolehi sebagai rakyat sedangkan setiap perlakuan kakitangan awam yang mendapat faedah terbanyak dari peruntukan-peruntukan tersebut dianggap musuh sebagaimana agensi polis dan mahkamah pernah diserang suatu ketika dahulu.

Hingga satu tahap, ahli parlimen DAP, Tony Pua menyarankan dalam suatu program anjuran DAP Johor untuk melakukan pengecilan jumlah kakitangan awam yang disifatkan oleh beliau sebagai langkah membendung pembaziran diadaptasi dari negara China sekiranya pakatan pembangkang menguasai kerajaan suatu hari nanti.

Ini semua adalah tektik pembangkang dalam menyerang mana-mana ‘safe-deposit’ yang mampu memberi kelebihan undi kepada BN kerana terbukti penguasaan kaum Melayu iaitu sebanyak sembilan puluh peratus (90%) dalam sektor awam itu pasti tidak menguntungkan mereka dari segi undi.

Hak-Hak Asasi Menjadi Senjata

Ambiga sekali lagi menjadi tumpuan. Sewaktu Bersih 2.0 mendapat perhatian kerajaan di bawah pimpinan Najib Tun Razak dengan penubuhan jawatankuasa khas parlimen bagi mengkaji proses pilihanraya negara yang lebih telus dan adil, Ambiga tampil semula membawa panji hak asasi manusia dengan menampilkan kononnya ‘kumpulan minoriti’ yang terdiri dari para pengamal seks luar tabi’e seperti ‘lesbian’, ‘gay’, ‘biseksual’ dan ‘transgender’ (LGBT) sebagai motif perjuangannya kali ini.

Ambiga sedar, Bersih 2.0 serta laungan kebebasan atas nama demokrasi tulin mampu menimbulkan huru-hara atau keganasan jika tidak dibendung. Namun, Bersih 2.0 telah dengan baik ditangani oleh kerajaan di bawah Najib dengan begitu halus dan penuh diplomasi.

Sewaktu ucapan Najib pada 16 September yang lalu, beliau berjanji mahu menghapuskan undang-undang ‘draconian’ iaitu I.S.A. dan ia merupakan kemuncak diplomasi yang ditonjolkan oleh Najib.

Bukan sekadar para pejuang yang kononnya membawa panji demokrasi serta hak-hak asasi manusia terkedu dengan tindakan Najib tersebut, bahkan, sewaktu saya menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1432H anjuran Kelab Che’det di Hotel Perdana Kuala Lumpur baru-baru ini, secara sinis Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan perasmiannya telah menyelar negara-negara barat agar menjadikan Malaysia sebagai negara demokrasi yang patut dicontohi kerana mampu untuk bertindak berani menghapuskan undang-undang yang dianggap zalim dan selalu disalah-gunakan bagi tujuan politik, setidak-tidaknya begitulah yang dianggap oleh aktivis-aktivis yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia.

Ambiga dan beberapa NGO yang bergerak kononnya atas nama hak asasi mati kutu dengan tindakan Najib.

Justeru, ‘tangan-tangan ghaib’ yang menggerakkan kononnya NGO-NGO yang memperjuangkan hak asasi manusia mula mencari satu lagi sebab yang tidak akan mampu dilayan oleh kerajaan di bawah pentadbiran Najib dan seterusnya bisa menjadikan suasana huru-hara atau ‘chaos’ sewaktu mereka lantang menuntut tuntutan mereka itu.

Demikian itu, menuntut hak bagi LGBT adalah langkah berani para aktivis hak asasi Malaysia yang diketuai oleh proksi ‘tangan-tangan ghaib’, Ambiga, bagi menuntut hak asasi yang bisa sahaja bertukar menjadi huru-hara kerana keyakinan bahawa kerajaan sedia ada pasti akan menolak dan seterusnya melakukan kekerasan dalam menangani hal ini disebabkan isu LGBT adalah suatu isu yang amat besar turut mengaitkan sentimen agama dan ketidak-selesaan awam.

Namun Ambiga terlupa, bahawa beliau bersama kumpulan aktivisnya selama ini berjaya melakukan kekecohan kerana sokongan rapat dari pembangkang yang bersifat ‘opportunist’ dan hanya mengambil kesempatan untuk melakukan huru-hara bagi mewujudkan persepsi buruk kerajaan BN di bawah Najib.

Dalam hal ini, Ambiga terlupa bahawa PAS yang semakin surut popularitinya kerana isu hudud dan negara Islam, serta isu murtad yang didakwa oleh sesetengah pihak adalah sebahagian dari usaha dakwah ‘tangan-tangan ghaib’ di dalam pakatan pembangkang telah memakan diri PAS kembali.

Justeru, Ambiga keseorangan dan tidak mendapat respon yang baik dari mana-mana parti yang membentuk pakatan pembangkang sebagaimana yang beliau perolehi sewaktu Bersih dan Bersih 2.0.

Tindakan kerajaan BN yang senyap sunyi dan langsung tidak mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan LGBT adalah tindakan yang tepat. Ia wajar ditangani oleh pakatan pembangkang sendiri yang selama ini mengambil kesempatan dari kekecohan yang diwujudkan oleh Ambiga namun memihak kepada mereka (pembangkang). Nik Aziz menyelar tindakan Ambiga, justeru menutup ruang Ambiga untuk melakukan huru-hara jika beliau dikenakan tindakan kekerasan seperti tangkap dan sebagainya.

Dalam pada itu, Che’gu Bard turut sama mahu melakukan apa yang dipanggil sebagai ‘political-suicide-do-or-die’ dengan cuba menggerakkan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bagi mewujudkan suasana tegang setelah beliau berjaya menggerakkan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dalam isu Profesor Aziz Bari.

Beberapa kenyataan ‘berani’ nya membayangkan adalah lebih baik Malaysia dirombak secara revolusi kasar dengan demonstrasi serta rusuhan dari menghadapi pilihanraya umum yang beliau sifatkan tidak akan adil kepada pembangkang justeru membayangkan bahawa pembangkang walau bagaimana pun akan mengalami kekalahan pada PRU ke-13 nanti.

Pembubaran dan tarikh Pilihanraya Umum Ke-13

Esok (Rabu), Najib Tun Razak akan berangkat pulang dan dijangka tiba pada awal pagi Khamis setelah menunaikan ibadah fardhu haji. Semoga kepulangan beliau akan membawa khabar gembira buat semua rakyat Malaysia.

Adalah menjadi rahsia umum (public secret) bahawa Najib telah meletakkan negeri Selangor sebagai penanda aras bagi tarikh pilihanraya umum kali ke-13 ini.

Selain kedudukan beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri merangkap Pengerusi BN negeri, imejnya dibayangi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menduduki kerusi Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor.

Para pemerhati politik sering membayangkan bahawa negeri Selangor adalah ‘battlefield’ kepada kedua-dua jaguh politik negara itu.

Merampas kembali Selangor menjadi keutamaan Najib selain mempertahankan Putrajaya. Demikian itu, laporan dari negeri Selangor begitu penting bagi Najib membuat ‘evaluation’ untuk mengumumkan pembubaran dewan parlimen.

Bisik-bisik yang sampai ke telinga saya memaklumkan antara benteng terakhir dalam mendapatkan laporan yang tepat berkaitan negeri Selangor adalah dari kumpulan Majlis Bekas-Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Y.Bhg. Tan Sri Abu Hassan Omar, mantan Menteri Besar Selangor.

Walaupun berbagai agensi telah ditugaskan bagi mendapatkan gambaran dan laporan yang tepat, namun kepercayaan Najib terhadap MUBARAK adalah tinggi. Sebab itu MUBARAK dilaporkan mendapat kerjasama yang rapat dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam melakukan gerakan sulit memantau negeri Selangor.

Dari maklumat yang saya perolehi, Najib sepatutnya pulang dari menunaikan ibadah haji pada 10 November namun ia dicepatkan kerana urusan-urusan penting yang perlu beliau sendiri hadiri. Sebab itu Najib akan sampai ke tanahair pada 9 November kerana, antara urusan penting yang bakal berlangsung pada 10 November itu adalah pertemuan dengan 10 delegasi MUBARAK Selangor yang akan membawa laporan terakhir kedudukan politik negeri Selangor.

Adalah menjadi tanda-tanya, apakah laporan yang bakal dibentangkan oleh Tan Sri Abu Hassan Omar itu? Adakah membawa perkhabaran baik atau sebaliknya?

Jika Abu Hassan Omar dan delegasinya membawa perkhabaran baik kepada Najib, tidak mustahil 11.11.11 akan menjadi tarikh keramat.

Tidak hairan apabila Sinchew Daily News melaporkan bahawa Anwar begitu sibuk sekali mengumpulkan NGO-NGO Cina pada hujung minggu yang lalu serta disifatkan oleh Sinchew sebagai suatu gerak-kerja luar biasa yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim.

Adakah Anwar sudah pun dapat menghidu tarikh pembubaran dewan parlimen?

Dan yang paling penting, adakah 11.11.11 menjadi tarikh pembubaran dewan parlimen sedangkan dua (2) perkara penting yang perlu najib selesaikan iaitu menangguhkan sidang parlimen serta menutup Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun 2011 belum pun terlaksana.

Perlembagaan Persekutuan, 1957 dengan jelas menggariskan bahawa apabila dewan dibubarkan, pilihanraya akan dijalankan dalam tempoh enam puluh (60) hari dari tarikh pembubaran dan sidang parlimennya hendaklah dijalankan dalam masa satu ratus dua puluh (120) hari.

Kali ini, pilihanraya tidak akan dilangsungkan dalam kadar segera. Najib akan melakukan ‘rally’ yang panjang sebelum tarikh pembuangan undi selepas dewan dibubarkan. Sedar atau tidak, sebenarnya ‘rally’ Najib dan BN telah lama bermula dengan walk-about Najib mahupun Muhyiddin di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

'Mode' pilihanraya sudah pun lama bermula!



dipetik dari SinisMalaysia

0 das tembakan!:

 
Top