..

UNDER CONSTRUCTIONS...

PAS cuba untuk menyedapkan hati sendiri tanpa sedar tujuan sebenar DAP merekrut lebih ramai ahli & pemimpin di kalangan kaum Melayu menyertai mereka...


PAS: ‘Tidak mungkin DAP bertanding di kawasan majoriti Melayu’
Oleh Syed Mu’az Syed Putra
December 09, 2011

KUALA LUMPUR, 9 Dis — PAS menegaskan DAP boleh meletakkan sesiapa sahaja calon yang dimahukan termasuk Melayu pada pilihan raya umum ke-13 sambil menambah rakan komponen dalam Pakatan Rakyat tidak boleh menghalang hasrat itu.

Bagaimanapun menurut Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali (gambar), isu DAP mahu meletakkan calon Melayu bertanding di kerusi majoriti Melayu tidak pernah dibincangkan di peringkat Pakatan Rakyat.
Malah kata Mustafa, DAP juga tidak mempunyai kerusi yang majoritinya Melayu.
“Kita tidak pernah bincangkan perkara itu, ia hanya perbincangan biasa kerana kawasan majoriti Melayu tidak ditandingi DAP dan ini berdasarkan pengalaman yang lalu... tidak mungkin DAP akan letakkan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu kerana DAP tidak mempunyai kerusi itu.

“Ia tidak akan berlaku, apa yang saya tahu DAP mahu letakkan calon Melayu di kawasan majoriti Cina,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau menambah sebaik sahaja pembahagian kerusi selesai PAS-PKR-DAP boleh memutuskan untuk meletakkan calon masing-masing.

“Berdasarkan pengalaman lalu, bila sudah putuskan kerusi atau kawasan DAP mahu letakkan siapa calon itu kebebasan mereka. Kita tiada sekatan untuk menghalang.

“Ia hak parti masing-masing untuk putuskan siapa calon, parti bebas nak letakkan sesiapa, itu hak parti masing-masing,” katanya.

Desas-desus mengatakan DAP mahu meletakkan calon Melayu bertanding di kerusi majoriti Melayu sudah lama bertiup kencang malah pemimpin Umno juga mengingatkan Barisan Nasional (BN) supaya berwaspada dengan strategi itu.

Selain itu semalam Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor, Khalid Abdul Samad berkata cadangan DAP itu sebagai satu langkah yang tidak wajar.

Beliau berkata pihaknya tidak akan tunduk kepada tuntutan itu kerana ia masih belum diterima rakyat selain bukan jaminan DAP akan memperoleh kemenangan.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menambah isu itu sepatutnya tidak berbangkit memandangkan DAP tidak mempunyai kerusi di kawasan majoriti Melayu.

“Belum ada DAP bertanding di kawasan majoriti Melayu, isu ini tidak pernah berbangkit pun.

“Ia terpulang kepada parti untuk tentukan siapa calon mereka, PAS tiada hak untuk halang sebab itu kawasan DAP... begitu juga dengan kawasan PKR atau PAS, parti masing-masing yang akan tentukan calon,” katanya.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar juga menegaskan perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam Pakatan Rakyat.
“Kita nak bincang apa kalau perkara ini tidak pernah timbul,” jawabnya ringkas.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan apa yang dikatakan Khalid itu sekadar pandangan peribadi namun menghormati cadangan DAP sekiranya ia berlaku.

“Kita sebenarnya menghormati hak parti untuk meletakkan calon, ia terpulang kepada parti masing-masing untuk tentukan. Bila sudah putuskan kawasan terpulang kepada parti nak letakkan siapa.

“Saya lihat apa yang penting adalah kemampuan calon itu untuk menang, macam kita juga tidak mustahil akan letakkan calon bukan Melayu di kawasan majoriti bukan Melayu,” katanya. -TMI

0 das tembakan!:

 
Top