BANTAH 'FATWA' KEDAH... LIM GUAN ENG ADA BERANI??


Parti Gerakan hari ini mencabar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya bertanggungjawab dan tidak terus membisu berhubung isu kerajaan negeri Kedah menggubal undang-undang baru bagi menghalang fatwa negeri itu dicabar di mahkamah.

Presidennya, Tan Sri Koh Tsu Koon menyifatkan penggubalan fatwa baru itu menyekat kebebasan rakyat bersuara dan menyatakan pendapat mereka dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.
"Saya mencabar Lim Guan Eng untuk menyatakan pendirian beliau dan DAP sebagai sebahagian daripada kerajaan Pakatan di Kedah.

"Perkara ini memberi kebimbangan kepada orang bukan Islam di Kedah dan parti DAP tidak harus terus berdiam diri. Apa tindakan ahli exco DAP Kedah buat? (semasa mesyuarat sidang DUN).

"Dalam mana-mana sistem demokrasi memang ada semakan semula kehakiman, kalau ada orang yang tak puas hati mereka boleh ke mahkamah syariah tetapi seperti perkara ini ia tidak memberi keadilan dari segi mahkamah,"katanya pada satu sidang media di ibu pejabat parti itu.

Rang Undang-undang Mufti dan Fatwa (Kedah) (Pindaan) 2012 yang dibentangkan bagi menggantikan Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 (Enakmen 10) diluluskan sebulat suara pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah minggu lalu.

Pindaan itu kononnya bagi memperjelas keahlian jawatankuasa fatwa serta menjadikan fatwa yang diputuskan oleh mufti atau jawatankuasa fatwa sebagai muktamad.

Menurut pindaan itu, “Fatwa yang diputuskan oleh mufti atau jawatankuasa fatwa, sama ada diwartakan atau tidak, tidak boleh dicabar, dirayu, disemak, dinafikan atau dipersoalkan dalam mana-mana Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah.”

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata mengikut Seksyen 22A yang baru, fatwa tidak boleh dicabar walaupun dengan undang-undang bertulis atau rukun undang-undang yang berlawanan.

“Fatwa mufti melibatkan ibadah dan hukum syarak, sekiranya berlaku kekeliruan perlu dirujuk kepada jawatankuasa fatwa,” katanya.

Walau bagaimanapun, keputusan itu menimbulkan pertikaian pelbagai pihak.

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ini menyifatkan penafian hak mahkamah untuk mencabar fatwa yang dikeluarkan oleh mufti negeri sebagai tidak demokratik.

Malah katanya, ia "mematikan intelektualisme" kerana menyamakan fatwa seperti nas dalam al-Quran dan Sunnah yang tidak boleh dipertikai.

Sementara Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya berkata enakmen baru yang digubal oleh kerajaan negeri Kedah itu bertentangan dengan prinsip Islam.

Mengulas lanjut, Tsu Koon berkata, pendirian yang diambil oleh kerajaan negeri Kedah itu juga turut mendatangkan kebimbangan di kalangan ahli Gerakan di negeri itu termasuk ADUN dari Barisan Nasional

"Ini memang telah disuarakan pengerusi parti Gerakan di Kedah iaitu Adun Jugra, kenyataannya amat jelas di mana beliau juga menerangkan bahawa BN di Kedah tidak setuju dengan apa yang telah diluluskan oleh majoriti di DUN Kedah,"katanya lagi.

Pada sidang media sama, Tsu Koon turut mengesahkan Gerakan akan menyerahkan senarai nama calonnya pada 30 April ini berikutan masih belum menetapkan senarai muktamad. -antarapos

.

Comments