BANGSAR, KUALA LUMPUR: Pemimpin Parti Hak Asasi Manusia (HRP) P Uthayakumar kecewa dengan tindakan kerajaan negeri Selangor kerana cuba mengusir lebih 20 penduduk di West Country, Seksyen 5 Bangi dari tanah seluas lebih 1.2 hektar di sepanjang Sungai Reko yang diduduki mereka.
Menurut beliau, tindakan kerajaan itu itu jelas menunjukkan pimpinan Pakatan Rakyat tidak memperdulikan atau ingin mencari penyelesaian kepada masalah kemiskinan masyarakat India.
“Mereka terima notis untuk diusir untuk keluar dari tanah rizab sungai yang tidak diperlukan pun dan mereka telah mengusahakan setelah berpuluh (puluh) tahun sebelum merdeka lagi.
“Mereka tidak buat salah, bercucuk tanam, pelihara lembu kambing untuk cari makan. Itu pun tidak boleh” katanya dalam satu wawancara dengan Antarapos.com, hari ini.
Uthayakumar mengulas laporan akhbar Sinar Harian hari ini di mana lebih 20 penduduk menerima notis Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat agar mengosongkan kawasan berkenaan dalam tempoh dua minggu bermula 5 April lalu.
Wakil Penduduk India Dewan Undangan Negeri (Dun) Bangi, Hari Krishnan Toreas, 30, berkata, penduduk telah mengusahakan penternakan dan pertanian di atas tanah seluas lebih 1.2 hektar di sepanjang Sungai Reko atas kebenaran pendudukan sementara yang dibayar setiap tahun.
Beliau berkata kerajaan Pakatan Rakyat tidak banyak bezanya dengan kerajaan Barisan Nasional kerana dilihat tidak bersungguh-sungguh membantu masyarakat India.
"Kini, kerajaan Pakatan Rakyat pula yang memerintah negeri Selangor selama lima tahun tetapi tiada penyelesaian kepada masalah ini, malah mereka diusir tanpa diberikan tanah alternatif," katanya.
Penduduk juga dilaporkan kecewa kerana permohonan mereka bagi mendapatkan mendapat kelulusan permit pendudukan sementara daripada kerajaan negeri belum diluluskan walaupun telah membuat bayaran secara tahunan. -antarapos
Comments