#HBN2012 - DUA REKOD BAKAL TERCIPTA DI PUTRAJAYA!!


Dua rekod bakal dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sempena sambutan Hari Belia Negara tahun ini, iaitu mencanting dan mewarna batik terpanjang serta Kawad Berirama Belia 1Malaysia.

Acara mencanting dan mewarna batik sepanjang 250 meter itu akan melibatkan 1,700 belia dari pelbagai institusi kemahiran, antaranya Institut Kraf Negara, Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Baitulmal.

Wakil dan Penaung Persatuan Belia Kota Gagasan, Noraniza Idris berkata acara mencanting dan mewarna batik itu bermula pagi ini di sini dan setakat ini sudah hampir 180 meter siap.

"Semua proses mencanting dijangka dapat diselesaikan menjelang hari pelancaran sambutan Hari Belia nanti," katanya kepada pemberita selepas pelancaran acara mencanting itu oleh Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz.

Noraniza berkata sentuhan terakhir mencanting batik itu dijadual dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu ini, yang merupakan hari kemuncak Himpunan Jutaan Belia sempena sambutan Hari Belia Negara 2012.

"Acara mencanting dan mewarna batik kali ini akan memperbaharui rekod lama yang pernah dicipta sebelum ini iaitu sepanjang 180 meter sementara untuk kawad berirama ia merupakan rekod baru," katanya.

Bagi acara Kawad Berirama Belia 1Malaysia, beliau berkata ia akan melibatkan belia yang sama dan sesi latihan sedang giat dijalankan serta masih terbuka kepada sesiapa yang berminat untuk menyertainya. - BERNAMA

Comments