DONGENG 'HAPPY ENDING' KRISIS AIR SELANGOR DITEMPELAK!!


Barisan Nasional (BN) hari ini sekali lagi menempelak pendirian Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mendakwa negeri itu tidak akan berdepan dengan krisis air menjelang tahun 2014 walaupun menolak cadangan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2.

Ini kerana menurut Penyelaras Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata unjuran yang diberikan Khalid bukan berdasarkan kapasiti air yang terawat.

"Sehingga kini 33 pusat rawatan air mampu menyalurkan 4,326 juta liter sehari, bagaimanapun penghasilan air terawat bagi kesemua pusat rawatan ini hanyalah 4,219.2 juta liter sehari.

"Jika dibandingkan antara nilai penghasilan dan penyaluran kepada pengguna, maka beza yang ada hanyalah 106.8 juta liter sehari dan inilah nilai 2.4 peratus rizab air itu," kata beliau pada sidang media hari ini.

Khalid sebelum ini mendakwa kadar rizab air di negeri itu berada pada yang selesa dan bukan 2.4 peratus seperti yang didakwa kerajaan BN.


Mohd Zin kemudian menjelaskan pihak konsesi di bawah kerajaan negeri tidak mampu menampung permintaan bekalan air yang meningkat menjelang musim perayaan.

"Sejak tahun 2005 hingga 2010, permintaan meningkat sebanyak 3.5 peratus dan dijangka meningkat secara tahunan dari 2013 sehingga 2015.

"Kerana kapasiti untuk menyalurkan air hanyalah 4,326 juta liter sehari dengan nilai rizab hanya 106.8 juta liter sehari (2.4 peratus), dijangkakan rakyat Selangor akan menghadapi masalah air menjelang 2014 nanti," katanya lagi.

Beliau turut menyentuh tindakan kerajaan negeri membekukan Perbelanjaan Modal (CAPEX) Syarikat Konsesi sehingga menyebabkan syarikat konsesi tidak berupaya melakukan kerja pembaikan paip yang meyumbang kepada peningkatan jumlah air tidak terawat (NRW).

Malah Mohd Zin mendakwa kerajaan negeri melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan Kumpulan Peransang Selangor (KPS) yang memegang 30 peratus dari saham syarikat konsesi sengaja membekukan CAPEX dan dalam masa yang sama menuding jari kepada pihak lain.

"Saya sebagai rakyat yang bertanggungjawab ingin memaklumkan kepada rakyat Selangor bahawa jangkaan masalah kekurangan air adalah benar dan akan berlaku. Namun ianya dinafikan oleh kerajaan negeri malah tanpa rasa tanggungjawab mereka mempolitikkan isu ini untuk kepentingan peribadi," kata beliau. -antarapos

Comments