PERJANJIAN PAKATAN - PAS & PKR MAKIN TERUK BERBALAH!!


Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafie tidak bersetuju dengan gesaan PAS supaya pemimpin Pakatan Rakyat menandatangani 'Perjanjian Pakatan' sebelum menubuhkan kerajaan persekutuan, jika diberi mandat kelak.


Shuhaimi yang juga ADUN Sri Muda berkata, usul yang dibuat oleh ahli exco Selangor Iskandar Abdul Samad itu tidak diperlukan kerana pucuk kepimpinan Pakatan Rakyat telah menandatangani satu perjanjian setelah pelancaran Buku Jingga di konvensyen mereka pada tahun 2010.

"Perjanjian apa? Saya tidak faham kerana di mesyuarat Majlis Presiden yang sudah dipersetujui, bersepakat perkara-perkara yang terlibat tentang dasar negara yang termaktub dalam Perlembagaan negara telah kita sepakati," katanya ketika dihubungi.

Dakwa beliau, cadangan itu mungkin disalah tafsir oleh pihak media yang memetik kenyataan Iskandar yang juga Yang Dipertua PAS Gombak pada sidang medianya di Ampang, semalam.

"Saya rasa mungkin laporan itu disalah petik oleh wartawan yang menghadiri majlis itu. Mungkin dia maksudkan lain sebab saya tidak baca kenyataan tersebut," kata beliau lagi.

Menurut Shuhami, semua pemimpin Pakatan terikat dengan polisi-polisi utamayang telah dipersetujui bersama demi mengurangkan isu kontroversi yang mungkin timbul akibat perbezaan pandangan dalam pentadbiran kelak.

"Pakatan Rakyat terikat dengan persetujuan yang sudah kita tangani dua tahun dahulu dan itulah yang akan kita pertahankan.

"Kalau mungkin ada yang disebutkan oleh YB Iskandar itu, dia mungkin di ruang lingkup yang lain. Mungkin ada perkara lain yang mungkin tidak disepakati, yang saya tidak tahu maksud dia," katanya lagi.

Beliau berkata, selagi polisi yang dilaksanakan berpaksikan perlembagaan sedia ada dipatuhi apabila Pakatan berjaya menawan Putrajaya, tidak akan timbul sebarang pertelingkahan.

"Kita sepakat semua keputusan yang diambil adalah atas semangat bersama Pakatan dan kita akan mempertahankan juga apa yang tertakluk dan tercatat dalam perlembagaan itu menjadi asas dan tiada perubahan akan dilakukan.

Iskandar, semalam dilaporkan berkata, perjanjian itu perlu bagi memperincikan polisi-polisi utama bagi mengurangkan isu kontroversi yang mungkin timbul akibat perbezaan pandangan dalam pentadbiran kelak.

Beliau sebelum ini memberitahu perjanjian itu juga akan mengikat pemimpin kerajaan seperti Perdana Menteri, Jemaah Menteri, Menteri Besar dan Exco. -antarapos

Comments