..

UNDER CONSTRUCTIONS...



Ulama jangan gadai maruah Islam, kata Mufti Kelantan

Ulama boleh menjadi sebahagian anggota parti politik tetapi perlu memiliki tahap kewibawaan yang tinggi mengendalikan isu.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, ulama di negara ini yang mempunyai keinginan berkecimpung dalam parti politik dialu-alukan mengikut hak masing-masing.


Bagaimanapun, Mohamad Shukri berkata, ulama terbabit perlu tahu membezakan kehendak parti dan Islam iaitu tidak menggadaikan maruah Islam demi kepentingan parti.


“Kalau ulama berada dalam sebahagian parti politik dan dapat memainkan peranan yang jitu seperti seharusnya dimainkan para ulama, ia sesuatu yang bagus. Tetapi jika kewibawaan ulama tidak seberapa baik, lebih elok berada di luar parti. Di sini kita tengok sejauh manakah ulama boleh berperanan dan kewibawaan ulama dihargai dan dihormati,” katanya, semalam.

Khamis lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu), Fathul Bari berkata beliau telah mengemukakan cadangan kepada pemimpin Umno untuk menjadikan Majlis Ulama sebagai salah satu sayap parti itu.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Debat Sinar bersama Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan anjuran Sinar Harian di Shah Alam.

Dalam pada itu, Mohamad Shukri berkata, peranan ulama akan terhad untuk memberi teguran berhubung sesuatu isu yang berbangkit sekiranya terlibat dalam parti politik kerana terpaksa akur dengan keputusan suara majoriti anggota parti.

“Kalau tidak jadi anggota parti, ulama boleh tegur sekiranya ada hal yang tidak puas hati. Oleh itu, jikalau ulama terbabit ada dalam parti, untuk menegur ia perlu bergantung kepada watak ulama berkenaan iaitu perlu tunduk kepada kebenaran, setia kepada Islam yang mana berkata benar walaupun pahit,” katanya.

Mohamad Shukri berkata, isu ulama terlibat secara langsung dalam parti politik ataupun tidak, bukan merupakan perkara utama.

Beliau berkata, sebaliknya mengikut konteks perkembangan semasa, ulama wajar bekerjasama dan menjalinkan keharmonian dengan pemimpin biarpun tidak melibatkan diri dengan mana-mana parti politik.

“Kalau ulama tidak menjadi sayap kepada parti politik sekalipun, ulama tetap harus mengekalkan keharmonian dan kesepakatan. Ulama sebenarnya boleh memberi sumbangan kepada negarawalaupun tidak sertai mana-mana parti politik,” katanya. -SH

0 das tembakan!:

 
Top