PAS PERLU KELUAR PAKATAN DEMI KEPENTINGAN ISLAM/MELAYU


PAS harus mengambil pendirian untuk meninggalkan Pakatan Rakyat dan kembali bersama Umno demi kepentingan masyarakat Melayu Islam di negara ini.

Menurut pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Ismail Sualman, kedudukan PAS akan menjadi lebih kukuh memandangkan Perlembagaan Persekutuan dijadikan tunjang pemerintahan tanpa mengenepikan tanggungjawab mengangkat kedudukan sosio-ekonomi kaum itu.

Selari dengan pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyifatkan Umno membawa Islam ke arah kemajuan, Ismail berkata penyertaan PAS sekaligus akan menjamin kedudukan Melayu dan Islam berada pada tahap yang lebih baik.

"Pandangan saya adalah PAS sepatutnya kembali ke pangkuan Umno. Sebab dari zaman sebelum ini, PAS adalah serpihan daripada Umno. Jadi jika berbalik kepada Umno, persoalan Melayu, agama telah terbentuk dan termaktub dalam perlembagaan Umno dan Perlembagaan Malaysia," katanya ketika dihubungi.



Ismail menyifatkan kedudukan PAS yang goyah dengan prinsip Islam itu sendiri menimbulkan kekeliruan masyarakat sehingga wujud tanggapan bahawa parti itu hanya mengutamakan politik berbanding agama.

Menurut beliau, PAS hanya mengangkat pendirian yang menguntungkan parti bersama gabungannya mengambil contoh kenyataan Karpal Singh menentang hudud yang tidak disanggah sepenuhnya oleh parti itu.

Sebaliknya, Karpal dan DAP dibiarkan lantang mengkritik undang-undang Islam yang menjadi rujukan pentadbiran PAS.

"Kenapa dia (PAS) tidak memerangi orang yang bercakap begitu? Iaitu Karpal Singh. Pernahkah orang kita (Melayu) cakap 'langkah mayat saya dulu' (sebelum laksana hudud)? Tidak pernah. Tapi orang kafir harbi ini memang cakap dengan jelas, kenapa PAS membisu?" soal beliau.

Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dalam sebuah kenyataan semalam mengajak ahli-ahli Umno untuk menyertai PAS jika berhasrat untuk menyelamatkan kaum Melayu.

Beliau mendakwa PAS adalah sebuah parti yang benar-benar mendaulatkan Islam berbanding Umno yang mengabaikan pelaksanaan agama sepenuhnya.

Menurut Hadi, "kedudukan jumlah kerusi Melayu masih besar kerana kedudukan majoritinya, tetapi jumlah kerusi tanpa perubahan politik dalam kalangan bangsa Melayu sendiri tidak mampu mempertahankan kedudukan mereka".

Pensyarah Fakulti Komunikasi UiTM itu kemudian menjelaskan bahawa perkembangan Islam oleh Umno disifatkan sebagai menyeluruh manakala PAS lebih mengutamakan perubahan drastik.

"Jelas di sini, perbezaan cara pembentukan Islam dalam Umno adalah cara evolusi, manakala cara Islam yang cuba diketengahkan oleh PAS adalah cara revolusi. Iaitu dia nak (perubahan) cepat.

"Tidak semestinya kita mahu pembentukan Islam itu kita mesti masuk PAS sebab PAS sekarang ini pun cacar merba. Sekejap mahu buat negara Islam, sekejap mahu buat negara kebajikan," tambah beliau.

Menurut Ismail yang mengambil contoh negeri Kelantan di bawah pentadbiran Islam PAS sejak tahun 1990, masih mengalami kekurangan dari aspek keperluan asas seperti air bersih yang mana menimbulkan keraguan bersabit kemampuan untuk memenuhi tuntutan fardhu kifayah.

"Persoalannya di mana perjuangan PAS sebenarnya? Adakah dia berjuang untuk politik atau dia berjuang untuk Islam.

"Kalau kita bandingkan apa yang dibuat oleh Umno, berbanding PAS, dalam nisbahnya kita sudah buat 80 peratus Umno dah buat, 20 peratus sahaja PAS," katanya lagi.

Dalam erti kata lain katanya, sesebuah pentadbiran bertanggungjawab untuk menyediakan lebuhraya, masjid dan sekolah demi mempertingkatkan perkembangan sosiologi dan menjaga kebajikan masyarakat setempat yang mana kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) telah berjaya membuktikannya lebih setengah abad. -antarapos

Comments

Anonymous said…
Insya Allah...akan sedar satu hari nanti
Anonymous said…
Tetapi, untuk 'kesedaran di satu hari' itu nanti kita perlukan kepimpinan yang waras lagi bijak dalam PAS. Dan, kesedaran itu mesti berlaku sebelum 'robohnya Kota Melaka' seperti di zaman penjajah Portugis dulu.