..

UNDER CONSTRUCTIONS...


Pertamanya, perlu diperjelaskan tiada siapa akan membantah cadangan atau tindakan untuk menjamin keselamatan rakyat, apatah pada sesuatu yang boleh melibatkan kehilangan nyawa - kemalangan jalanraya.

AES adalah satu idea bijak, cuma cara perlaksanaan yang dipertikaikan sekarang bila sistem ini dilihat lebih kepada 'mencari keuntungan' dengan mengutip sebanyak mungkin saman (oleh syarikat konsesi) melebihi niat asal untuk mengurangkan kemalangan maut di jalanraya.

Tidak kira berapa tahun kajian dibuat oleh MOT sebelum perlaksanaan sistem ini, berapa kos yang telah dikeluarkan - natijah dari permulaan semberono menyebabkan isu ini menjadi 'bola tanggung' kepada kerajaan bila pihak pembangkang memanipulasikannya sebagai satu tindakan kejam kerajaan/BN memerah duit rakyat untuk mengetatkan poket kroni.

Sepatutnya pihak berwajib mesti bertindak dengan cara mendidik, bukan menghukum. Lihat contoh pelaksanaan AES di Singapura - kerajaan republik itu memberi penjelasan padu melalui media massa dan pelbagai saluran alternatif mengenai pelaksanaan sistem ini selama setahun sebelum dilaksanakan.

Cara penerangan mengenai kebaikan sistem ini perlu diperjelas dengan baik dan tersusun bagi mendidik minda rakyat/pemandu mengenai risiko memandu melebihi had laju dan melanggar lampu merah supaya perlaksanaannya tidak menjadi satu kejutan atau pertikaian.

Maklum balas rakyat juga perlu diambil kira, bukan berdasarkan keputusan Parlimen semata. Saman RM300 bagi seorang Ahli Parlimen mungkin bukan masalah besar, tapi jumlah itu mungkin belanja makan sebulan untuk sesetengah golongan rakyat.

Kos RM717juta tidak boleh dianggap sebagai MODAL untuk mendapat KEUNTUNGAN semula. Banyak lokasi pemasangan AES yang bukan di kawasan kemalangan tapi di kawasan yang memungkinkan pemandu mula memecut. Ini membuatkan AES dilihat seperti satu franchais perniagaan yang memerlukannya dibuka di kawasan yang boleh menjana keuntungan semata.

Kebanyakan pengundi mempunyai kenderaan sendiri dan bila-bila masa boleh terakam oleh kamera AES walau mungkin dalam perjalanan tergesa-gesa untuk memohon bantuan BR1M. Dalam usaha kerajaan cuba mengurangkan bebanan rakyat, ada pula unsur yang membantutkan senyuman di wajah bila memikirkan ada saman yang perlu dibayar. -RR

=============

Pemuda Umno Desak AES Ditangguh

SHAH ALAM – Pemuda Umno hari ini sebulat suara mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sehingga kajian menyeluruh dilakukan.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya juga berharap mesyuarat Kabinet minggu ini dapat membuat keputusan berhubung perkara itu.

“Pemuda desak kerajaan tangguh AES. Kaji semula," kata beliau, yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), menerusi Twitternya petang ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, beliau dipetik Bernama berkata, kajian semula itu perlu bagi mengatasi kelemahan pada pelan pelaksanaan AES sekarang dan memastikan sistem itu mampu berfungsi sempurna mengesan pesalah trafik di negara ini.

"Sistem AES itu sendiri merupakan sistem amat baik, namun hasil maklum balas akar umbi kami dapati terlalu banyak kelemahan pada pelan pelaksanaan AES yang perlu diatasi antaranya lokasi dan had laju praktikal bagi sesebuah kawasan,” katanya.

Khairy berkata kerajaan juga perlu mengadakan publisiti dan pendidikan umum

bagi memberikan informasi yang lebih jelas kepada rakyat.

"Adalah penting untuk rakyat memahami dengan jelas sistem AES ini kerana ia

mampu menyelamatkan nyawa mereka selain mengelakkan AES menjadi 'alat mainan' pembangkang untuk menakut-nakutkan rakyat," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda.

Semalam, empat Kerajaan Negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor bersetuju menangguhkan pemasangan AES.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sebanyak 331 kamera AES dicadang untuk dipasang di empat negeri itu, namun pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan.

"Kami akan bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Long See Wool bulan depan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai AES termasuk kos dan syarikat pengendali," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Guan Eng berkata, pemasangan AES itu seharusnya mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa di peringkat kerajaan negeri terlebih dahulu.

AES adalah sistem kamera automatik berteknologi tinggi yang dipasang di lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan selain bertujuan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem penguatkuasaan serta mampu mengurangkan kemalangan maut.

Ia merakam pesalah trafik yang melanggar dua kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju atau melanggar lampu merah.

Dalam pada itu, laporan Bernama berasingan menyebut Kementerian Pengangkutan akan menghantar pasukan teknikal untuk memberi penerangan mengenai AES kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor seperti dipohon.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu berkata, setakat ini hanya kerajaan negeri berkenaan meminta penjelasan berkaitan pelaksanaan AES itu. -SH

0 das tembakan!:

 
Top