..

UNDER CONSTRUCTIONS...


Ini adalah ucapan penggulungan Presiden UMNO yang paling ringkas di akhir Perhimpunan Agung UMNO.Ia mengambil masa kira-kira 45 minit saja.Ini kerana Datuk Seri Najib Tun Razak ‘ langgar’ waktu Maghrib yang menjelang tiba petang Sabtu.

Biasa ucapan penting presiden parti yang menjadi kemuncak seluruh perhimpunan setahun sekali itu ambil masa lebih sejam lamanya.

 Namun dalam tempoh yang singkat itu,Perdana Menteri telah berjaya membakar semangat para perwakilan UMNO dari seluruh negara yang menunggu untuk mendengar amanatnya menjelang pilihanraya umum bila-bila masa tahun depan.

Lebih berseri lagi majlis pengulungan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu dihadiri oleh kedua-dua bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi.

Mesej Najib sangat jelas dan padat.Gema semangatnya dapat dilihat dari reaksi para perwakilan,pemerhati dan orangramai yang membanjiri PWTC.

Makanya pembangkang jangan ingat mereka boleh goyang kaki dan senang-senang hendak tebas jalan ke  Putrajaya pada PRU13.

Paling menarik….Najib cakap dengan penuh yakin Barisan Nasional dapat mempertahankan Putrajaya dengan dua pertiga kerusi Parlimen.

Ia bagi menebus tsunami politik PRU12 dimana BN menang tetapi kehilangan ‘ kuasa’ itu yang penting di Parlimen.

Apapun Najib mengasaskan keyakinan beliau itu sekiranya tindak tanduk sabotaj parti 'sesama kita' dapat diselesaikan.

'Sesama kita' itu merujuk kepada perbuatan sabotaj, cah keting dan yang seumpamanya oleh ahli parti yang kecewa kerana hasrat mereka tidak dipenuhi atau tidak dapat menjadi calon.

Beliau mengakui perbuatan sabotaj sesama sendiri dalam parti lebih membimbangkannya berbanding hendak berentap dengan lawan dalam mencapai matlamat itu.

Dalam kontek ini Perdana Menteri melontarkan soalan yang disifatkannya sebagai soalan 'cepumas'.

Ia penuh bermakna bagi menguji tahap kesediaan anggota Umno untuk menyokong parti sekiranya mereka tidak terpilih sebagai calon pilihan raya umum ke-13 nanti.

Presiden Umno itu mengajak para pejuang parti untuk memikirkan persoalan itu kerana ia bakal menentukan kalah menang parti pada pilihan raya umum itu.

Lima kemungkinan ditawarkan Najib bagi menjawab soalan cepumas yang sarat dengan mesej itu -- sokong sepenuhnya calon dipilih parti; sokong; tidak bekerja; sabotaj; atau lompat parti.

"Ini survey penting...tanya diri sendiri. Kita tidak akan edar borang dalam dewan ini, jangan bimbang...tetapi saya nak tuan puan sekalian dalam dewan ini, dalam perjalanan balik nanti, dalam kereta nanti, dalam bas ekspres nanti, cuba tepuk dada, tanya selera," katanya disambut tepukan gemuruh anggota perwakilan.

"Kita hendak semangat seperti ini bertahan sampai masa pilihan raya. Bawa balik masa kita jumpa penyokong-penyokong kita, sebab dalam kalangan kita banyak batu ronsonnya (batu api), banyak tukang kipas, dia cong (tipu) kita, kalau tidak kuat iman, daripada sokong sepenuhnya turun pada sokong, ataupun dari sokong dia buat dek (tak tahu)...tidak bekerja (untuk parti) atau lebih parah dia sabotaj atau lompat parti," katanya.

Beliau turut mencuit sinis golongan yang sanggup mengkhianati parti selepas puas merasai nikmat yang diperolehi semasa berada di dalam Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Saya sebut ini sebagai segala kemungkinan. Dalam dewan ini hampir semua penyokong tegar, penyokong setia pada perjuangan parti. Tetapi jangan lupa ada juga bekas menteri, timbalan menteri yang sudah mengkhianati parti ini.

"Dia sudah rasa nikmat jadi menteri dan timbalan menteri dan banyak lagi nikmat lain, tetapi hari ini kerana gila jawatan, mungkin kerana dihasut orang tertentu, hari ini mereka jadi orang yang menentang Umno dan BN," katanya.

Sebab itu, kata Najib, pada perhimpunan terakhir sebelum pilihan raya umum ini, jawapan paling wajar kepada soalan cepumas yang diutarakan itu adalah perakuan untuk terus menyokong calon yang dipilih pucuk pimpinan.

"Seluruh pejuang Umno harus menjawab dengan suara yang cukup yakin dan hebat. Jawapan yang kita hendak pada soalan cepumas itu tidak lain tidak bukan kalau saya tidak dipilih sebagai calon, saya tetap akan menyokong calon Umno dan BN.

"Boleh kah tuan-tuan dan puan-puan...boleh kah?" soalnya dengan penuh bersemangat sebanyak tiga kali, dan disahut jeritan "boleh" tiga kali, oleh lebih 2,700 anggota perwakilan yang ada.

Kata Najib, jika jawapan yang diberi itu lahir ikhlas dari hati anggota Umno, beliau yakin kemenangan dua pertiga akan menjadi milik BN pada pilihan raya umum akan datang.

Bercakap dalam sidang media selepas perhimpunan itu, Najib menegaskan bahawa UMNO sudah sedia untuk sasaran memperolehi majoriti dua pertiga.

"Dua pertiga adalah sasaran kita, dan kita akan 'all out' untuk mencapainya..." ujar beliau.

Ahli UMNO kini menurutnya berada dalam semangat tinggi dan beliau percaya semangat tersebut akan kekal sehingga hari pengundian nanti.

"UMNO sudah sedia dan semangat melawan kita tinggi," katanya.


Mengulas mengenai cara yang akan digunakan UMNO untuk elak sabotaj kata Najib, ia merupakan sesuatu "in heart and mind" dan sukar untuk ditetapkan keadah khusus.

"Cuma dia kena tahu bawa perbuatan akan merosakkan parti dan merosakkan dia juga..." katanya.

Terdahulu, Najib memulakan ucapan dengan SALAM 1MALAYSIA...TOLAK FITNAH.

Ini adalah satu pembaharuan.Sebelum ini ia diucap sebagai SALAM 1MALAYSIA...sahaja.

Najib turut mengumumkan UMNO akan menubuhkan institut kepimpinannya sendiri dan akan dilaksanakan secepat mungkin.

"Ini permintaan sayap Puteri dan Pemuda, kita terima, kita buat serta-merta selepas kajian mengenai salibusnya selesai, boleh guna mana-mana dewan latihan yang kita ada, tidak perlu bangunan baru..." ujarnya.

Manakala bagi menghargai peniaga kecil dan sederhana, beliaum umumkan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan dinaikkan dari RM50,000 kepada RM100,000 secepat mungkin.

Satu lagi berita gembira kepada 120,000 individu muflis kerana kerajaan akan mengkaji semula Akta Kebankrapan yang terlalu ketat buat masa ini.

"Kita juga berjanji akan mencari jalan untuk memberi peluang kedua kepada individu yang muflis, kerana kita percaya ada yang muflis sebab tolong jadi penjamin kepada kawan tetapi bukan semuanya,"jelas beliau.

Di akhir persidangan, Najib meminta semua ahli UMNO memastikan jangan sesiapa memberikan undi kepada pembangkang dalam pilihanraya nanti kerana pembangkang hanya merosakkan akidah, perpecahan dan penindasan keatas bangsa kita.

Najib kemudiannya mengetuai ikrar dan doa bagi mencetuskan semangat juang di kalangan ahli UMNO bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang dan mempertahankan kerajaan sekarang.

Beliau meminta semua perwakilan bangun ketika membaca ikrar dan sebaik selesai, lagu Warisan (Anak Kecil Main Api) dinyanyikan sekali lagi oleh semua pemimpin dan perwakilan sebelum Perhimpunan Agung UMNO 2012 melabuhkan tirainya. -agendadaily

1 das tembakan!:

KAMUNTING CENTRAL said... December 4, 2012 at 2:05 AM

Salam bro... Hebat blog mike bro.. Sudilah kiranya dapat dilinkkan blog teman dlm blog mike bro.. http://kamuntingcentral.blogspot.com/ TQ bro..

 
Top