Tolak Darjah Kebesaran Raja2: Langkah Awal DAP Jadikan Malaysia Sebuah Republik!


Enggan menerima atau menolak darjah kebesaran yang dikurniakan Raja-raja Melayu tanpa alasan kukuh adalah satu penghinaan secara halus, kata ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Aidit Ghazali.

Walaubagaimanapun, katanya tiada paksaan kepada mana-mana individu untuk menerima anugerah itu dan ia haruslah dibuat secara baik yang tidak memperlekehkan Institusi Diraja.

"Tidak ada paksaan kalau seseorang itu tidak mahu menerima tetapi untuk membuat sesuatu peraturan untuk tidak menerima adalah seolah-olah penghinaan secara halus terhadap pengiktirafan itu.


Aidit berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mengatakan DAP sebelum ini setuju bahawa ahlinya tidak akan menerima apa-apa darjah kebesaran sepanjang berkhidmat kononnya untuk menjamin ketelusan parti dalam menyampaikan khidmat kepada masyarakat.

Karpal berkata demikian mengulas tindakan dua pemimpin DAP yang menerima gelaran 'Datuk' dari Sultan Selangor dan Sultan Perak.

Kedua-dua mereka adalah Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Kim dan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.


"(Jika) kita membuat rumusan seolah-olah gelaran Datuk itu sebagai satu penurunan nilai kepada pendirian parti politik, ini adalah pada saya satu pemikiran yang sangat dangkal," tegas Aidit.

Aidit yang juga Timbalan Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (JATI) memberitahu anugerah kebesaran daripada Sultan Selangor dan Sultan Perak merupakan satu pengiktirafan yang sangat tinggi kerana kedua-dua Raja Melayu ini tidak akan mengurniakan darjah itu kepada sembarangan orang.

"Gelaran yang diterima oleh dua wakil rakyat DAP iaitu daripada Sultan Perak dan Selangor, pada saya punya pengetahuan ini adalah dua negeri yang sangat sukar untuk memberi gelaran Datuk. Pada saya pemberian ini membawa nilai yang sangat tinggi.

"Justeru mana-mana pihak yang memandang rendah pada gelaran daripada Raja-Raja Melayu seolah-olah tidak tahu menilai sesuatu yang berharga atau tidak dalam konteks negara kita."

Beliau juga berkata secara sinis tentang prinsip yang digunapakai oleh DAP ini ibarat 'mereka yang mahu hidup tetapi tidak mahu menerima udara' dan 'mahu menjadi rakyat Malaysia tetapi enggan mengiktiraf apa yang terkandung dalam perlembagaan'.

Bagaimanapun, Aidit tidak menafikan bahawa terdapat individu yang cuba untuk melobi dalam mendapatkan gelaran dari Raja-raja Melayu.

"Kita tak nafikan ada juga segelintir di mana ada yang melobi untuk gelaran tetapi saya bercakap dari pengetahuan saya. Gelaran daripada Sultan Selangor, dari segi siapa yang terima sangat tinggi. Sultan Selangor sangat teliti kepada siapa nak diberi, mesti ada kriteria yang jelas dan tidak ada apa-apa kriteria yang bersandarkan kepada pertimbangan politik," ujarnya.



Dalam pada itu, penganalisis politik Dr Ismail Sualman menyifatkan Pengerusi DAP itu sebagai berpura-pura kerana hanya bersuara selepas perkara itu dipersoal beberapa pihak.

Walhal umum sedia maklum bahawa prinsip itu telah dipersetujui oleh ahli-ahli parti sejak tahun 90-an.

"Saya rasa Karpal Singh ni berpura-pura sahaja, kes ni berlaku pada 2008, 2010 dah berlaku sekian lama. Apabila ada orang cuba cungkil tentang prinsip itu baru dia nak ambil tindakan.

"Kalau betul dia nak ambil tindakan (sepatutnya) 2009 lagi dia dah laksanakan. Nampak sangat ada sikap 'double standard' di situ. Kalau betul-betul dia bersikap telus, tak payah orang lain tegur pun dia dah ambil tindakan," ujar Ismail.

Malah beliau turut menasihatkan supaya DAP agar membubarkan prinsip tersebut yang dianggap tidak masuk akal itu.

"(Dua ahli itu) tahu mengenai prinsip ini tapi bagi dia bukan satu kesalahan untuk terima. Orang nak beri anugerah tapi kalau itu sebagai prinsip yang sepatutnya, saya rasa pihak DAP kena fikir kembali dasar itu. Kena tarik balik," katanya. -antarapos

Comments