Pantauan 5 Panel Bebas, #SPRM Institusi Berketelusan Tertinggi - @AbuKassimSPRM @SPRMMalaysia

SPRM sering menjadi 'kambing hitam' setiap kali pembangkang mengaitkan kerajaan/BN dengan rasuah, padahal hampir kesemuanya tuduhan semberono tanpa mereka mahu mengerti tentang tanggungjawab dan penat lelah yang telah dipikul oleh SPRM yang terus komited untuk terus memerangi gejala rasuah di negara ini. Ini sejajar dengan misi kerajaan meletakkan Malaysia dalam top-30 negara bebas rasuah menjelang 2020. Malaysia kini di tangga ke-54 bebas rasuah.

Ikuti temuramah MingguanMalaysia bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed mengenai peranan, misi & visi SPRM di bawah kendalian beliau...


Bagaimana Tan Sri menilai komitmen SPRM dan kerajaan dalam menangani masalah rasuah di negara ini?

ABU KASSIM: Bagi melihat komitmen, kita mesti melihat kepada inisiatif. Ini kerana jika bercakap sahaja orang akan mempertikaikan perkara tersebut. Rakyat mahu melihat kepada tindakan yang diambil kerajaan. Bagi saya tindakan yang kerajaan lakukan dalam memerangi rasuah ketika ini juga sangat jelas. Sebagai contoh, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah membuat satu konvensyen iaitu UNCAC tentang menangani rasuah dan negara kita menandatangani konvensyen ini. Perkara ini sekali gus memberi makna, kita bersetuju bahawa usaha Malaysia dalam memerangi rasuah selaras dengan tahap antarabangsa.

Salah satu artikel penting yang dinyatakan dalam konvensyen tersebut ialah Artikel 36 iaitu mengenai kepentingan kerajaan menubuhkan suruhanjaya pencegahan rasuah yang bebas. Sebenarnya tidak banyak negara di dunia ini yang mempunyai badan pencegahan rasuah walaupun di Amerika Syarikat, Kanada mahupun di United Kingdom. Malah ada negara yang ada, namun modelnya tidak selengkap yang dikehendaki PBB. Apabila PBB membuat pemeriksaan ke atas negara ini, mereka mendapati kita mempunyai amalan terbaik, yang membolehkan Malaysia menjadi salah satu negara contoh dalam menangani rasuah.

Salah satu perkara terbabit ialah kewujudan Panel Penilaian Operasi iaitu sebuah daripada lima badan bebas yang memantau operasi SPRM. Panel ini akan memastikan SPRM membuat kerja siasatan tanpa rasa gentar dan berat sebelah. Malah SPRM perlu membentangkan kepada panel ini sekiranya ada kes yang tidak mahu dituduh. Ahli panel ini terdiri daripada golongan profesional yang dilantik berdasarkan kepakaran mereka. Ini membuatkan PBB rasa kagum. Selain itu, PBB juga memuji langkah Malaysia yang mewujudkan mahkamah khas tentang rasuah.

Secara keseluruhannya, sebanyak 23 perkara yang disenaraikan sebagai amalan terbaik yang boleh dijadikan contoh kepada negara-negara lain. Pendek kata, kalau kita lihat dasar kerajaan pada hari ini serta lima tahun kebelakangan ini, kerajaan sebenarnya tidak berhenti memerangi rasuah dan satu demi satu sudah berjaya dilaksanakan.

Bagaimana usaha memperbaiki persepsi rakyat terhadap integriti kerajaan dalam soal rasuah?

ABU KASSIM: Meletakkan SPRM sebagai entiti bebas ialah satu perubahan yang cukup besar dalam sejarah SPRM yang ditubuhkan pada 1967. SPRM telah diubah daripada sebuah organisasi yang kurang telus kepada satu entiti yang cukup telus. Malah, saya boleh katakan SPRM adalah satu-satunya institusi kerajaan yang mempunyai dan memperlihatkan ketelusan tertinggi dalam negara ketika ini. Ini dengan adanya lima panel bebas yang memantau perjalanan SPRM.

SPRM dipantau oleh lima badan bebas dengan 47 anggota, yang terdiri daripada orang awam yang mana masyarakat terlibat dalam kerja-kerja SPRM. Ini satu perkara yang cukup unik dalam negara. Di samping itu juga, kerajaan sedang mengkaji untuk mengadakan peruntukan liabiliti korporat (dalam Akta SPRM) iaitu peruntukan yang membolehkan tindakan diambil ke atas syarikat dan bukan pada individu (ejen atau pekerja) sahaja. Jika kerajaan bersetuju ini merupakan contoh untuk memperkasakan SPRM.

Bolehkan Tan Sri nyata kedudukan SPRM di peringkat antarabangsa?

ABU KASSIM: Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia merupakan salah sebuah akademi pencegahan rasuah terbesar di dunia. Di peringkat dunia, terdapat Persatuan Pihak Berkuasa Anti-Rasuah Antarabangsa (IAACA) di Vienna bagi seluruh masyarakat dunia, yang mana saya telah dilantik menjadi Naib Presidennya. Bagi saya, ini merupakan pengiktirafan peringkat antarabangsa terhadap Malaysia. Mereka bukan suka-suka lantik, mesti ada sebab.

Sebenarnya ramai yang tidak tahu, Malaysia merupakan negara yang mempunyai agensi pencegahan rasuah tertua di dunia selain antara yang terbaik, sebab itu kita dijadikan rujukan.

Wujud persepsi mengatakan SPRM melakukan pendakwaan selektif apabila hanya ikan bilis yang dikenakan tindakan tetapi bukan jerung. Apa komen Tan Sri?

ABU KASSIM: Memang SPRM melakukan 'pendakwaan selektif' iaitu mendakwa orang yang mempunyai bukti dan keterangan yang kuat. Kalau keterangan tidak kuat, kita tidak tuduh, jadi kita (Timbalan Pendakwa Raya) mesti buat pertimbangan yang cukup teliti. Tetapi isu ini daripada pemahaman masyarakat ialah mengenai kes yang besar tidak dituduh sementara kes yang kecil dituduh, itu yang selalu diperkatakan. Pertamanya, jangan tanya kita mengenai pertuduhan kerana kerja SPRM ialah menyiasat, itu perlu jelas. Pendakwaan diputuskan oleh Timbalan Pendakwa Raya.

Yang keduanya, menuduh orang ini ada standardnya, mesti cukup keterangan. Pihak pendakwa selalunya melihat keterangan berdasarkan kehendak mahkamah. Kesukaran yang sering dihadapi apabila kita tidak mempunyai bukti yang cukup seperti tiada siapa yang melihat perkara itu, tiada rakaman video walaupun dia sudah mengaku. Berdasarkan pengalaman, Timbalan Pendakwa Raya tidak akan membawa kes seumpama ini ke mahkamah kerana setiap kali dibawa ia akan dibuang disebabkan mahkamah tidak akan menerima kes berdasarkan kenyataan semata-mata. Itulah masalah kita.

Namun masyarakat tidak faham. Sebenarnya, kita sudah tuduh banyak kes besar termasuk bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Khir Toyo; bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC), ahli Parlimen, wakil rakyat, exco, bekas menteri dan ramai lagi. Soal menang kalah di mahkamah itu prosesnya tapi kita berani tuduh di mahkamah. Masalahnya pihak-pihak tertentu hendak besar lagi daripada itu, besar mana lagi saya tak tahu.

Apakah fokus SPRM pada tahun ini dan seterusnya?

ABU KASSIM: Fokus pada tahun ini kita berpegang pada prinsip merakyatkan SPRM. Apa yang dimaksudkan ialah kita pergi jauh lagi ke bawah. Kita mengenal pasti pihak-pihak yang mewakili rakyat dan meningkat interaksi dengan mereka. Sebab itu kita banyakkan aktiviti bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti-parti politik, belia, pelajar, dan semua stakeholder yang perlu didekati.

NGO mewakili sekumpulan masyarakat yang mendesak atas isu-isu tertentu. Kita juga mendekati ahli politik tanpa mengira ideologi. Ini kerana kita berpandangan musuh kita ialah rasuah, siapa yang membenci rasuah ialah sahabat kita, siapa yang memberi rasuah pula ialah musuh kita. Jika berpegang pada prinsip tersebut, maka sesiapa sahaja yang hendak memerangi rasuah ialah sahabat kita dengan menolak tepi ideologi masing-masing.

Di samping itu, menyemak isu-isu yang dekat dengan rakyat, menyelami masalah rakyat yang menyebabkan rakyat susah mendapatkan perkhidmatan tertentu. SPRM akan mengenal pasti dan beri fokus berkaitan hal ini.

Sudah lima tahun Tan Sri mengetuai SPRM. Adakah Tan Sri gembira serta apa langkah seterusnya?

ABU KASSIM: Daripada segi inisiatif, kita telah lakukan pelbagai perkara, cuma isunya sama ada ia berkesan atau tidak. Semasa saya mula menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM, saya lancarkan proses transformasi. Saya semak mana kedudukan SPRM, kenal pasti jurang serta kekurangan serta bidang-bidang yang harus diberi tumpuan penambahbaikan serta pembetulan.

Kita membuat semakan di seluruh dunia amalan-amalan yang terbaik pada 2010 dan kita dapati beberapa pendekatan SPRM kena berubah. Kita perlu menggunakan pendekatan lebih profesional. Contohnya, pegawai-pegawai SPRM merupakan pegawai yang dilatih untuk memegang rahsia. Maka habis semua perkara jadi rahsia, akhirnya PR menjadi 'Penyimpan Rahsia'. Jadi kita latih pegawai kita, sebagai contoh wujudkan Bahagian Komunikasi Strategik, antara lain ambil orang berpengalaman dari luar. Hasilnya cara berinteraksi menjadi lebih profesional dan efektif. Kita hendak memperkasakan SPRM dari segi pengurusan dan profesionalisme. Ini membantu inisiatif kita merakyatkan SPRM. Kami hendak menyalurkan maklumat kepada rakyat supaya masyarakat faham kerja SPRM dan tidak membuat andaian tidak berasas.

Selepas kita membuat transformasi di peringkat operasi, kita berjaya mencapai kadar sabitan lebih 85 peratus. Jika dulu, kes lambat berjalan, kita tukar kaedah siasatan, tukar kaedah kerja, tidak lagi kerja bersendirian sebaliknya secara berpasukan. Hasilnya kes yang disiapkan dalam tempoh setahun meningkat lebih 90 peratus. Di samping itu juga, dulu kita tidak banyak tuduh syarikat swasta, tapi sekarang sudah banyak. Ini antara perubahan yang sudah dapat dilihat. SPRM sudah banyak berubah sejak lima tahun lalu. Tetapi saya mahu perubahan yang lebih besar.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140223/re_02/Rakyat-kena-faham-kerja-SPRM

Comments