#Langat2: Khalid Ibrahim Bidas Azmin, Sindir Mahathir


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan kesediaan untuk membantu Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) menyiasat isu tanah dan air seperti yang dibangkitkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, beliau akan membawa perkara itu ke persidangan Dun Selangor, minggu depan.

“Kelewatan pembinaan loji Langat 2 (Loji Rawatan Air Langat 2) tidak boleh dijadikan alasan untuk beliau membelanjakan RM800 juta untuk membina loji baharu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Azmin salahkan Khalid atas kelewatan Projek Langat 2]

“Mungkin banyak yang beliau telah pelajari daripada helah mantan Perdana Menteri, mentor utama beliau dalam penganugerahan konsesi penjanaan tenaga melalui Purchasing Power Agreement (PPA) kepada beberapa syarikat swasta terpilih atau ‘independent power producers’ (IPPs) kononnya sebagai penyelesaian terbaik bagi krisis tenaga pada tahun 1990-an,” katanya melalui kemas kini status di Facebook.

Sebelumnya, Mohamed Azmin mempersalahkan Abdul Khalid atas kelewatan projek (Langat 2) kerana didakwa bertanggungjawab dalam penjualan tanah bagi membangunkan kemudahan enap cemar kepada pihak ketiga.

Katanya, pada 2009, kawasan tanah di mukim Hulu Langat itu telah dikenal pasti sebagai tapak sesuai untuk membangunkan kemudahan enap cemar itu tetapi ia telah dijual kepada pihak lain semasa Abdul Khalid menjadi Menteri Besar Selangor.

“Namun, tanah itu telah diberi milik kepada MBI (Pemerbadanan Menteri Besar) pada ketika itu dan seterusnya dijual kepada Syarikat Prestige Capital Sdn Bhd pada 2013,” kata Azmin. SH

Comments