Para blogger ternama pro-kerajaan terus tidak sehaluan, berpecah belah dan tidak segan silu menyerang antara satu sama lain meskipun telah diberitahu pucuk pimpinan UMNO untuk melenyapkan persengketaan itu menjelang Pilihanraya Umum ke-13 yang semakin hampir.
Pergaduhan di kalangan blogger pro-kerajaan semakin menjadi-jadi sepanjang tahun ini di mana secara terang-terangan mereka menulis di blog masing-masing mengenai pertikaian yang dipercayai berpunca dari persoalan ‘siapa dapat apa?’.
Papa Gomo menggelar blogger Bigdog dan Rocky Bru sebagai ‘anjing’ dan ‘Rockyngah’, manakala blogger Unit Media Baru (UMB) Tun Faisal menghentam Papa Gomo sebagai lupa daratan serta blogger jalanan.
Baru-baru ini Papa Gomo telah menyerang lagi Bigdog di dalam tulisannya mengenai isu menaiki kapal selam Scorpene KD Tun Razak sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2011.
Dalam tulisannya, Papa Gomo menyatakan bahawa Bigdog telah melakukan khianat kepadanya kerana membocorkan maklumat kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, bahawa dia akan turut bersama Setiausahan DAP itu ketika menyelam bersama KD Tun Razak, Jumaat lalu.
“Apa pun Musuh Dari Dalam Lebih Merbahaya dari luar….. Terima Kasih Blogger Big Dog atas Pengkhianatan yang anda lakukan dalam menjadi Mulut Tempayan kepada Lim Guan Eng,” kata Papa Gomo di blognya.
Selain mendakwa dianiaya Bigdog, Papa Gomo turut mempersoalkan mengapa tidak seorang pun mempertikaikan tindakan Bigdog yang menaiki helikopter Superlinks bersama Guan Eng ketika itu.
Papa Gomo dan Bigdog pernah bergaduh di blog mengenai isu kononnya Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim, telah merogol seorang amahnya yang merupakan seorang warga Indonesia.
Di dalam kes itu, Papa Gomo mendakwa Bigdog telah menjadi punca fitnah tersebut dengan menyebarkan maklumat kepada blogger Rocky Bru untuk menimbulkan dakwaan itu sehingga menjadi bahan serangan para blogger pro-Pakatan Rakyat.
Dakwaan berkenaan terbukti palsu apabila Rais menang di dalam saman beliau terhadap seorang blogger pro-Pakatan Rakyat, Amizuddin Ahmat, dan pemilik blog sharpshooterblogger itu diarahkan mahkamah untuk membayar RM300,000 kepada Menteri berkenaan.
Para pemerhati blog-blog politik di negara ini juga menyaksikan pertelingkahan berlaku di antara Papa Gomo dan Tun Faisal, yang saling menyerang serta mengutuk antara satu sama lain.
Tun Faisal misalnya menuduh Papa Gomo sebagai penipu, ego, bongkak, lupa daratan dan menyerang peribadi blogger tersebut yang dikatakan berpendidikan rendah serta menyara hidup dengan berniaga barangan tiruan di uptown.
Papa Gomo membalas dengan menggelar Tun Faisal sebagai ‘Tun F**kzal’ dan mengutuk Ketua UMB itu sebagai bacul serta berbohong di blognya.
Mereka turut bergaduh di laman sosial Facebook dan Twitter mengenai soal remeh temeh berkenaan peruntukan, disiplin, bodek membodek Pak-Pak Menteri serta modus operandi “psy-war”.
Persoalannya kini, di kala para pemimpin Barisan Nasional (BN) membayangkan bahawa Pilihanraya Umum ke-13 sudah semakin hampir, mengapa blogger-blogger pro-kerajaan ini masih berbalah dan bergaduh sesama sendiri lagi?
Tidakkah mereka rasa malu pada pembaca dan blogger pro-pembangkang yang tertawa melihat sikap keanak-anakan yang dipamerkan?
Apakah dengan menggelar rakan seperjuangan yang lain dengan gelaran-gelaran keji sebegitu mampu memenangkan BN pada PRU ke-13 nanti?
Sampai bila mereka mahu menunjukkan ketidakmatangan mereka dan bertelingkah sedangkan mereka berada di dalam satu jemaah yang berjuang demi Islam, bangsa dan negara?
Itu baru jadi blogger.
Kalau mereka dilantik jadi pemimpin, calon BN, ADUN, Ahli Parlimen atau Menteri, mungkin huru-hara jadinya nanti.
Justeru itu, sudah-sudahlah bergaduh macam budak-budak dan sikap tersebut hanya akan membuat Pakatan Rakyat ketawa terbahak-bahak saja. Merapatkan saf perjuangan adalah lebih baik ketika ini
SUMBER ------------->>> mynewshub.my (klik)
UNITE & FIGHT!!
Comments
Pertama, saya tidak pernah menyerang mana-mana blogger lain, sebaliknya jika sdr kaji, blogger tertentu ini yang memulakan serangan terhadap saya terlebih dulu. Tulisan saya hanyalah selepas serangan berulang kali dibuat terhadap saya dan UMB. Sdr boleh kaji dan kumpulkan, kemudian hitungkan berapa banyak artikel yang menyerang saya dengan menceritakan pelbagai pembohongan. Saya bertanggung jawab untuk menjelaskan keadaan sebenar. Sekiranya saya tidak mempertahankan diri dan menjelaskan keadaan sebenar, maka saya tidak berlaku adil terhadap UMB dan rakan-rakan bloggers dan pejuang siber lain yang bernaung di bawah UMB.
Kedua, eloklah diselidik dulu keadaan sebenar, niat pihak yang menyerang saya dan UMB serta tujuan mereka sebelum menuduh saya kerana tulisan sdr menyebabkan saya terpaksa menulis untuk menjelaskan keadaan. Saya boleh mendedahkan banyak perkara untuk mempertahankan diri saya, tetapi sebagai pemegang jawatan, saya lebih mengutamakan kepentingan institusi.
Tulisan sdr salah dr segi kronologi, fakta dan konteks. Mungkin elok dibetulkan sekiranya sdr mahu berlaku adil kepada saya dan UMB.
UMB sedang fokus untuk menghadapi PRU13 dan tidak berminat untuk terlibat dengan pertelingkahan peribadi dan kumpulan. Sehingga kini ranking Top 20 blogger Pro-kerajaan didominasi oleh UMB. Lebih separuh dari blogger dalam ranking Top 20 adalah dari UMB. Suka saya maklumkan sdr juga, UMB bukan sekadar blogger dan dunia blogging, tetapi lebih dari itu. Jadi jangan disempitkan skop pemerhatian kita hanya kepada dunia blogging.
Terima kasih.
Tun Faisal Ismail