Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengambil tindakan menyekat kemudahan pinjaman ke pelajar Universiti Selangor (Unisel) ekoran pendirian Pakatan Rakyat (PR) yang mahu ia dimansuhkan dan ia hanya bersifat sementara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sehubungan itu menurut Timbalan Perdana Menteri, perkara itu bangkit kerana PR pernah menyuarakan pemansuhan PTPTN di mana Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khaled Ibrahim mahu pinjaman itu dihapuskan.
Beliau berkata, tindakan penangguhan sementara itu dilakukan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hanya kerana mahu menyemak semula sama ada Unisel ingin meneruskan pinjaman PTPTN kepada pelajarnya atau sebaliknya.
“Sebelum ini, Menteri Besar kata mahu ia dimansuhkan.
"Justeru, Khaled Nordin hanya mahu menyemak sama ada mereka memerlukan pinjaman PTPTN atau sebaliknya dengan mengambil kira pandangan pelajar kerana Unisel di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.
“Jika akhirnya Kerajaan Negeri tidak mahukan PTPTN, mereka perlu mencari sumber kewangan lain untuk memberikan pinjaman kepada pelajar Unisel," kata Muhyiddin pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Projek Perkasa Usaha Untuk Cipta Kejayaan (Puncak) Peringkat Parlimen Gombak, hari ini.
Muhyiddin menambah, "justeru, perlu bagi kementerian menyemak semula perkara terbabit.”
PTPTN mengesahkan ia memutuskan untuk menangguhkan pinjaman kepada pelajar Unisel buat sementara waktu.
PTPTN beranggapan bahawa IPT yang dikuasai kerajaan negeri seperti Unisel dan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) bersedia menyediakan pendidikan percuma kepada para pelajarnya sekali gus menolak pinjaman PTPTN.
Jelas Muhyiddin, penanguhan PTPTN itu hanya bersifat sementara, bukan membatalkannya sama sekali.
Keputusan itu kelak akan diteliti dan dipertimbangkan dengan sebaik-sebaiknya oleh kementerian sekiranya masih ada keperluan.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, saranan pembangkang supaya PTPTN dimansuhkan adalah perkara yang tidak sepatutnya dibangkitkan tanpa mengambil kira soal pengajian.
“Pembangkang bercakap tanpa mengetahui apa yang mereka cakapkan, sekali mereka bercakap dah terkena batang hidung sendiri, tanpa mengakui mereka melakukan kesilapan,” katanya. -SH
Comments