[VIDEO] JAWAPAN TPM BERKAITAN ISU PTPTN-UNISEL!


Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengambil tindakan menyekat kemudahan pinjaman ke pelajar Universiti Selangor (Unisel) ekoran pendirian Pakatan Rakyat (PR) yang mahu ia dimansuhkan dan ia hanya bersifat sementara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu menurut Timbalan Perdana Menteri, perkara itu bangkit kerana PR pernah menyuarakan pemansuhan PTPTN di mana Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khaled Ibrahim mahu pinjaman itu dihapuskan.

Beliau berkata, tindakan penangguhan sementara itu dilakukan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hanya kerana mahu menyemak semula sama ada Unisel ingin meneruskan pinjaman PTPTN kepada pelajarnya atau sebaliknya.

“Sebelum ini, Menteri Besar kata mahu ia dimansuhkan.

"Justeru, Khaled Nordin hanya mahu menyemak sama ada mereka memerlukan pinjaman PTPTN atau sebaliknya dengan mengambil kira pandangan pelajar kerana Unisel di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

“Jika akhirnya Kerajaan Negeri tidak mahukan PTPTN, mereka perlu mencari sumber kewangan lain untuk memberikan pinjaman kepada pelajar Unisel," kata Muhyiddin pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Projek Perkasa Usaha Untuk Cipta Kejayaan (Puncak) Peringkat Parlimen Gombak, hari ini.

Muhyiddin menambah, "justeru, perlu bagi kementerian menyemak semula perkara terbabit.”

PTPTN mengesahkan ia memutuskan untuk menangguhkan pinjaman kepada pelajar Unisel buat sementara waktu.

PTPTN beranggapan bahawa IPT yang dikuasai kerajaan negeri seperti Unisel dan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) bersedia menyediakan pendidikan percuma kepada para pelajarnya sekali gus menolak pinjaman PTPTN.

Jelas Muhyiddin, penanguhan PTPTN itu hanya bersifat sementara, bukan membatalkannya sama sekali.

Keputusan itu kelak akan diteliti dan dipertimbangkan dengan sebaik-sebaiknya oleh kementerian sekiranya masih ada keperluan.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, saranan pembangkang supaya PTPTN dimansuhkan adalah perkara yang tidak sepatutnya dibangkitkan tanpa mengambil kira soal pengajian.

“Pembangkang bercakap tanpa mengetahui apa yang mereka cakapkan, sekali mereka bercakap dah terkena batang hidung sendiri, tanpa mengakui mereka melakukan kesilapan,” katanya. -SH

Comments

akmy said…
Kalau macam itu kira O.K.lah dan betullah tindakan itu. Sebab baru sangat lagi diadakan demonstrasi hapuskan PTPTN dan mahukan pendidikan percuma oleh pembangkang. Mungkin pembangkang telah betrsedia untuk memberi pendidikan percuma dan UNISEL sangat sesuai untuk janji itu kerana ianya university swasta yang dikuasai pembangkang. Apa susahnya nak tunai janji, terimalah semua seribu bakal pelajar UNISEL tanpa perlu membayar apa-apa dan tanggunglah segala keperluan serta perbelanjaan mereka sepanjang tempoh pengajian mereka. Nyatakanlah dalam surat tawaran kepada bakal pelajar tersebut dengan tandatangan pihak UNISEL dengan waris/pelajar agar jelas dan mereka akan dapat belajar dengan senang hati tanpa risaukan kena membayar itu dan ini.