JADIKAN HUDUD BAHAN POLITIK... PAS AKAN TERPERANGKAP!! @RealDrMAZA


BEKAS Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata PAS terjebak dalam agenda undang-undang hudud, yang menurut beliau, memerlukan penyusunan rapi untuk dilaksanakan dengan sempurna.

Beliau menegaskan, pelaksanaan undang-undang syariah itu tidak akan membanteras jenayah jika ia tidak diuruskan secara jitu.

“Saya buat satu contoh mudah. Zakat boleh menyelesaikan masalah kemiskinan orang Islam. Kita kutip zakat banyak, tapi oleh kerana cara pembahagian kita tak “settle”(teratur), maka kita dapati zakat tak berfungsi (membasmi kemiskinan) walaupun kutipan berlaku,” kata beliau kepada AntaraPos.

“(Ini) bukan kelemahan zakat tapi pengurusan. Jadi sebelum nak buat apa kita kena pastikan (bahawa) penyusunan itu mesti betul,” tambah Dr Asri.

Kelmarin, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi menggesa Umno supaya segera melaksanakan hukum hudud kerana, menurut beliau, ia akan menjamin keamanan dan keselamatan di negara ini.

Beliau memberi jaminan bahawa PAS tetap mahu melaksanakan undang-undang itu sungguhpun agenda itu ditentang oleh DAP.

Dr Asri berkata pelaksanaan undang-undang hudud hanya patut dilaksanakan apabila segala persiapan sudah lengkap dan faktor persekitaran diambil kira.

Beliau berkata banyak negara melaksanakan hukum hudud tetapi masih dibelenggui dengan masalah jenayah akibat penyusunan yang tidak betul.

“Banyak negara yang buat hudud tapi tak selesai termasuk di Nigeria dan di Sudan sehingga mereka terpaksa memberhentikan hudud sebab persekitaran. Mereka tidak mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk buat hudud,” kata beliau.

“Justeru, wujudkan persekitaran dulu baru, buat hudud. Hudud adalah langkah yang akhir untuk mengatasi jenayah setelah persekitaran yang sesuai diwujudkan,” kata Dr Asri.



Beliau berkata, kesungguhan PAS membicarakan isu hudud sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 memakan diri.

“Saya berani mengatakan bahawa PAS terperangkap dengan membicarakan topik ini (hudud). Sepatutnya dia tak payah kerana tajuk ini hanya akan memalingkan pengundi sahaja,” kata beliau.

“(Patut) Hudud PAS bincang dengan Dap selepas dia dapat kuasa, bukan sebelum dia berkuasa. Ini saranan saya,” tambah ulama itu.

Dr Asri sebelum ini berkata Pas memberi gambaran salah mengenai hukum hudud sehingga ia ditentang keras pemimpin tertinggi DAP dan mengelirukan orang bukan Islam.

Menurut beliau, Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) yang telah diluluskan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, menimbulkan salah faham hingga kini.

Katanya, sebagai contoh dalam kes rogol, enakmen itu tidak jelas dan Pengerusi Dap, Karpal Singh mungkin terkeliru dengan memikirkan hanya memerlukan empat saksi bagi menghukum pesalah. -antarapos



Comments

Anonymous said…
bravo ustaz. ulama pas telor berat sebelah. tidak berkata benar dan memperkotak katik kan agama sehingga mendapat publisiti negatif dikalangan bukan islan.