Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diselar kerana dikatakan mudah menyerahkan tanah milik Yayasan Selangor(YS) kepada Pusat Kebudayaan Cina Selangor di Klang.
Timbalan Presiden JATI Datuk Aidit Ghazali berkata tindakan Khalid tunduk kepada desakan Ahli Exco Kerajaan Negeri Elizabeth Wong supaya YS menyerahkan tanah itu bercanggah dengan prinsip tata urus kerajaan.
Aidit yang juga Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkata Khalid selaku Pengerusi YS seharusnya menghormati pendirian yayasan yang mahu membangunkan tanah seluas 18.5 ekar di Klang itu demi manfaat golongan miskin.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah penaung Yayasan Selangor.
"Bila Wong minta (tanah) khas untuk bangsa dia..kita kena tanya...apakah segala-gala yang hendak dibawa oleh pihak-pihak parti politik yang mewakili DAP, PKR dan sebagainya semua hendak berteraskan kepada persoalan bangsa tanpa kita ikat diri kita kenapa Yayasan Selangor diwujudkan? soalnya.
"Disini saya lihat..lebih-lebih lagi menjelang PRU13, masing-masing cuba hendak melihat diri dia sebagai hero atau heroine bagi komuniti mereka, kata Aidit kepada Antarapos.
Blogger Raja Petra Kamaruddin sebelum ini mendedahkan arahan Khalid mahukan Yayasan Selangor menyerahkan tanah itu selepas mendapat permintaan daripada Wong.
Berdasarkan surat bertarikh 21 Mac 2011 yang dimuatnaik dalam blog berkenaan, Wong menuntut Khalid mengeluarkan arahan untuk YS menyerahkan tanah itu kepada Pusat Kebudayaan Cina Negeri Selangor.
Sepucuk surat lagi mendedahkan arahan Khalid kepada Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki untuk menyerahkan hak milik tanah itu.
Aidit menegaskan Khalid perlu memberikan keutamaan kepada pihak Yayasan untuk membangunkan tanah itu kerana badan itu ditubuhkan khusus untuk membela golongan kurang bernasib baik.
"YS diwujudkan untuk menjaga soal kebajikan, ia menjaga segala elemen yang berkaitan tentang masa depan dan juga soal pendidikan serta kemaslahatan bangsa Melayu di negeri Selangor khususnya tanpa kita menafikan juga kepentingan bangsa-bangsa lain.
Tambah Aidit lagi, jika benar kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor lebih mengutamakan tata urus adil, sudah tentu YS tidak akan dipaksa menyerahkan tanahnya.
"Pada saya seseorang itu mungkin bercakap tentang tata urus yang baik dan sebagainya… tetapi kalau inilah caranya keputusan (diambil iaitu) berasaskan perbincangan exco dengan MB (sahaja) tentu sekali ini sudah bercanggah dengan prinsip tadbir urus yang baik.
"Jadi mereka tidak berhak lagi untuk berbicara tentang soal tadbir urus yang baik sekiranya ini adalah satu keputusan yang melibatkan dua atau tiga individu,” kata beliau. -antarapos
Comments