Amaran Keras: Jangan Bawa Pulang Walaupun Abu Mayat Chin Peng~!! - @LokmanAdam #Lokman4NKP


Kematian Ketua Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dalam buangan adalah satu berita sedih bagi sesetengah pihak, namun itu juga mungkin perasaan puas bagi sesetengah pihak sebagai pengajaran kepada generasi hari ini jangan sesekali cuba menderhaka kepada kedaulatan negara.

Mengenang perit-getir dan pengorbanan ramai anggota keselamatan yang terkorban di era kekejaman PKM suatu masa dahulu takkan mudah terbilas dari lipatan sejarah. Mungkin atas sebab itu EXCO Pemuda UMNO dan juga calon Naib Ketua Pemuda, Lokman Noor Adam menzahirkan amaran keras jika mayat ataupun abu mayat Chin Peng dikembalikan ke Malaysia.

Sila baca kenyataan media penuh oleh Lokman Noor Adam.

Kenyataan Media:

Sambutan Hari Malaysia 16 September 2013 hari ini bukan hanya mengingatkan kita tentang Penubuhan Malaysia hasil Gabungan Sabah, Sarawak Dan Persekutuan Tanah Melayu. Alhamdulillah, pada tarikh ini juga kita telah terselamat daripada satu usaha merampas kuasa oleh Anwar Ibrahim melalui pembelian Ahli Parlimen.

Namun, apa yang menarik perhatian saya hari ini ialah berita berita kematian Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya, Ong Boon Hua atau lebih dikenali sebagai Chin Peng di Bangkok akibat usia tua. Chin Peng mati pada usia 90 tahun.

Sejurus selepas berita ini disebarkan, beberapa orang pemimpin pembangkang berhaluan kiri seperti Hishammuddin Rais, Tian Chua dan Khalid Ismath mula mengeluarkan kenyataan secara terang-terangan bahawa Ching Peng adalah seorang Pejuang.

Kini telah mula juga kempen secara halus untuk mendesak kerajaan membawa pulang mayat atau pun abu Chin Peng ke Malaysia.

Kenyataan yang bertujuan menarik sokongan kaum Cina ini cukup biadap dan langsung tak mengambil kira perasaan ahli keluarga anggota tentera dan polis yang telah terkorban ditangan komunis demi menjaga keamanan negara.

Selain itu gerakan dari pihak pembangkang ini saya lihat sebagai satu bentuk "endorsement" terhadap keganasan yang dilakukan oleh Parti Komunis Malaya suatu ketika dahulu. Saya menentang sekeras-kerasnya sebarang usaha untuk membawa pulang mayat atau abu Ching Peng ke Malaysia. Ong Boon Hua bukan warganegara Malaysia dan kita tidak sesekali akan memaafkan kekejaman yang telah beliau lakukan.

Sekiranya DAP atau mana-mana pihak meneruskan usaha untuk membawa pulang mayat atau abu Ching Peng, saya dan teman-teman Pemuda UMNO tidak akan teragak-agak untuk turun menyatakan bantahan kami dan menggagalkan sebarang usaha memperingati musuh negara itu.

Lokman Noor Adam
Exco Pemuda UMNO Malaysia
16/9/2013





Comments