Misi #SPAD - Pengangkutan Awam Darat Sebagai Mod Pilihan Rakyat! @AduanSPAD

Kesesakan lalulintas bukan sahaja menjadi masalah di bandar besar, malah sudah melangkaui ke pekan-pekan kecil di seluruh Malaysia kerana pertambahan kenderaan persendirian yang semakin banyak. SPAD bukan sahaja bertanggungjawab untuk memastikan pengangkutan awam darat beroperasi mengikut disiplin dan spesifikasi yang betul, tapi turut berperanan untuk memastikan keselesaan pengguna bila menggunakan pengangkutan awam bagi menggalakkan perkhidmatan ini menjadi pilihan utama untuk mengelakkan kesesakan lalilintas yang semakin tidak terkawal. Itu cuma salah satu misi, ikuti artikel di bawah untuk mengetahui lebih terperinci tentang peranan SPAD...


Sistem pengangkutan awam yang komprehensif dan efektif merupakan faktor yang penting dalam membina ekonomi yang mampan. Malah matlamat utama inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) adalah untuk mewujudkan pengangkutan awam bandar yang bersepadu.

Untuk mencapai matlamat itu, kerajaan telah menubuhkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 3 Jun 2010 dan diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah mengamanahkan SPAD untuk merangka dasar, merancang dan mengawal keseluruhan aspek berkaitan dengan keretapi, bas dan perkhidmatan teksi serta pengangkutan barangan melalui jalan raya atau rel.

SPAD berfungsi sepenuhnya pada 31 Januari 2011 dengan pengambilalihan portfolio Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Jabatan Keretapi Malaysia (JKM) dan fungsi-fungsi pelesenan kenderaan oleh Kementerian Pelancongan (KPM) di Semenanjung Malaysia. Sehubungan dengan pembubaran LPKP, segala kuasa, hak, keistimewaan, liabiliti, obligasi dan kewajipan LPKP dan JKM dipertanggungjawabkan kepada SPAD.

Sebaik ia berfungi sepenuhnya, pelbagai program telah dilakukan oleh SPAD untuk memastikan pengangkutan awam darat bersepadu, selamat, boleh dipercayai, responsif, mudah diakses dan cekap.

Ini kerana matlamat utama SPAD ialah menggalakkan lebih ramai penumpang menggunakan pengangkutan awam dan seterusnya meningkatkan peratusan perkongsian mod kepada 40% pada tahun 2030.

Peratusan perkongsian mod pengangkutan awam bandar pada 2010 ialah 17% dan menurun kepada 16.42 % pada 2011. Bagaimanapun ia meningkat kepada 20% pada 2012.

Berdasarkan Laporan Tahunan 2012 SPAD, pada 2010, bilangan penumpang pengangkutan awam pada waktu puncak pagi (6 pagi-10 pagi) ialah 558,298. Tetapi ia menurun kepada 521,589 pada 2011. Bagaimanapun pada 2012 ia meloncat kepada 635,245 penumpang.

Spad-repot-03

Pada satu taklimat baru-baru ini, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata, sejak ditubuhkan, pelbagai cabaran telah dilalui oleh SPAD , namun ia tidak menggoyahkan misi mereka untuk menjadikan pengangkutan awam darat sebagai mod pilihan rakyat.

Katanya, persepsi rakyat berhubung pengangkutan awam Malaysia perlu diperbaiki dari segi kesalinghubungan dan kecekapan sistem, selain kebolehaksesan pengangkutan awam secara keseluruhan.

"Adalah mustahil untuk mencapai semua matlamat yang disasarkan dalam sekelip mata. Kami telah mengharungi pelbagai cabaran, tetapi kami anggap tiada satu pun cabaran yang tidak dapat diatasi. Masih banyak cabaran pada masa akan datang, tetapi SPAD pasti dapat mengatasinya.

"Pada 2012 Perkongsian Mod pengangkutan awam di kawasan bandar meningkat kepada 20% berbanding 17% pada 2010, iaitu tahun SPAD ditubuhkan. Saya yakin SPAD mampu memperoleh 40% menjelang 2030 dan seterusnya menjadikan pengangkutan awam sebagai mod pengangkutan pilihan rakyat,” kata Syed Hamid.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismail Mohamed Kamal, berkata, perjalanan menggunakan rel merupakan pilihan pengangkutan awam darat yang paling kerap digunakan dari segi bilangan penumpang.

Sehubungan itu katanya pelbagai penambahbaikan telah dibuat oleh SPAD. Antara langkah yang telah dan sedang dibuat setakat ini ialah meningkatkan kapasiti KTM Komuter dan bilangan penumpang di mana KTM Berhad, telah memperkenalkan 38 unit Set-Enam-Gerabak (SCS) EMU (Electric Multiple Unit).

Peningkatan itu telah menyumbang kepada peningkatan bilangan penumpang perkhidmatan KTM Komuter daripada 2.7 juta penumpang pada Mac 2012 kepada 3.7 juta penumpang pada Disember 2012. Pada masa yang sama, ketepatan masa perkhidmatan meningkat daripada 76% kepada 90%, dengan kekerapan maksimum setiap 15 minit pada waktu puncak operasi.

Spad-repot-01

Selain itu kapasiti Landasan Kelana Jaya (KJL) juga ditingkatkan dengan penambahan 35 set tren empat gerabak. Dengan kapasiti tambahan ini, kekerapan semasa tempoh puncak dikurangkan kepada 2.5 minit dan bilangan penumpang bertambah daripada 4.8 juta penumpang pada Januari 2012 kepada 6.8 juta pada Disember 2012 selain mengekalkan ketepatan masa perkhidmatan pada kadar 99%.

Landasan Ampang (AG) pula menyaksikan pertambahan bilangan penumpang daripada 4.5 juta orang pada Mac 2012 kepada 5 juta pada Disember 2012 dan mengekalkan ketepatan masa perkhidmatan pada kadar 99%.

Sistem Monorel KL meningkatkan bilangan penumpang sepanjang tempoh yang sama daripada 1.8 juta kepada 2.4 juta penumpang dengan menggunakan 12 set monorel dua gerabak selain mengekalkan kekerapan maksimum setiap 5 minit pada waktu puncak operasi.

Antara projek yang sedang dilaksanakan SPAD ialah Landasan Berkembar Kereta Api Elektrik KTMB Seremban-Gemas, sambungan Landasan ERL ke KLIA 2 (dijangka siap 2014), penyambungan Landasan LRT Landasan Kelana Jaya dan Ampang, pengembangan Flit Monorel KL, Skypark Subang-LCCT serta Trem Melaka dan Aeoral Melaka. Landasan Berkembar Kereta Api Elektrik KTMB Gemas-Johor Baharu pula dijangka siap pada 2018. [SUMBER]


Comments