Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan kewujudan 180 ladang ternakan lembu di seluruh negara dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pada masa ini terdapat 61 ladang ternak di seluruh negara.
“Usaha ini antara langkah kerajaan bagi memastikan bekalan daging segar dalam negara mencukupi,” katanya di Bera Sabtu lalu.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata import lembu hidup dari Thailand agak berkurangan kebelakangan ini berikutan persaingan daripada China yang turut meningkatkan import lembu Thailand.
Bagi menampung keperluan negara, Ismail Sabri berkata kerajaan mengenal pasti negara pengeksport baharu antaranya ialah Myanmar.
“Kita akan mengimport 20,000 ekor lembu dari Myanmar awal Mei depan. Selain itu, saya telah mengadakan pertemuan dengan Persatuan Ruminan Kebangsaan baru-baru ini dan mereka memberi jaminan tidak akan berlaku krisis kekurangan bekalan daging segar menjelang musim perayaan akan datang,” katanya.
Menurutnya pada masa ini Malaysia mengimport kira-kira 100,000 tan metrik daging segar setahun dan kerajaan akan memastikan menjelang 2020 nanti, separuh keperluan bekalan daging itu diperoleh daripada sumber tempatan.
Comments