Hina Speaker #Parlimen, Lim Kit Siang Digantung 6 Bulan


Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang hari ini digantung selama 6 bulan daripada Dewan Rakyat selepas usul yang dibentangkan Datuk Seri Azalina Othman Said diluluskan majoriti ahli Parlimen hari ini.

Usul tersebut dibawa menteri di Jabatan Perdana Menteri itu pagi ini, dan dibahaskan dengan hangat selama hampir sejam lebih.

Ketua Parlimen DAP itu masih enggan meminta maaf atas kenyataannya mengatakan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bersikap seperti diktator apabila mengarahkan mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ditangguhkan susulan ketiadaan pengerusi, selepas Datuk Nur Jazlan Mohamed dilantik sebagai timbalan menteri dalam negeri.

Lim menuduh Pandikar menyalahgunakan kuasa dan cuba mensabotaj siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang dijalankan PAC.
Keputusan itu dibuat dengan majoriti ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional menyokong usul itu.

"Kami tidak ada pilihan tapi memohon mencadangkan usul ini," kata Azalina dalam Dewan Rakyat hari ini.

Usul yang dibawa untuk menggantung Lim mengikut Aturan Mesyuarat 27 (3).

Timbalan Speaker Ronald Kiandee mengumumkan keputusan penggantungan secara undi blok, dengan majoriti 107 ahli Dewan Rakyat menyokong usul itu dan 77 tidak menyokong.

"Dengan keputusan pengundian ini, Gelang Patah diminta untuk meninggalkan dewan," kata Ronald semasa membaca keputusan itu.

Lim semasa berhujah mempertahankan dirinya berkata usul yang dibawa merupakan satu penghinaan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Parlimen kerana beliau hanya bersuara mewakili rakyat membabitkan isu berkepentingan umum.

"Saya tidak pernah rasa begitu sedih, bukan kerana saya akan digantung, tetapi kerana apa yang berlaku hari ini satu penghinaan kepada Yang Dipertua dan Parlimen ini.

"Ini menunjukkan begitu cetek dan jahil ahli Parlimen hari ini. Biarlah penggantungan saya ini dijadikan sebagai pengajaran kepada rakyat supaya tidak mengundi lagi kerajaan Barisan Nasional," katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo semasa perbahasan menyifatkan langkah membawa usul itu sebagai melanggar prosedur Dewan Rakyat kerana tidak memberi peluang kepada Lim mempertahankan dirinya.

"Dewan tidak boleh gantung ahli Parlimen Gelang Patah tanpa beri peluang untuk beliau pertahankan dirinya," kata Gobind.

Gobind menegaskan supaya Lim sepatutnya dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan dan diberikan peluang untuk pertahankan dirinya.

Pandikar sebelum ini mendesak Lim membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataannya itu, jika tidak tindakan boleh diambil terhadapnya.


Comments