#Parlimen: 2 Usul Tegas Baharu MoU Atasi #Jerebu


Kerajaan berhasrat memperkenalkan dua perkara baharu dalam draf memorandum persefahaman (MoU) berhubung kerjasama menangani isu jerebu antara negara ini dan Indonesia.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dua perkara itu merupakan tambahan kepada perkara-perkara yang dipersetujui dalam mesyuarat menangani isu jerebu yang dihadiri Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei pada 22 Julai lalu.

Menurut beliau, perkara tambahan pertama menuntut komitmen dan pertanggungjawaban yang le­bih jelas, kuat serta kukuh terhadap pihak-pihak yang menandatangani MoU berkenaan.

“Perkara tambahan kedua me­nyatakan tindakan undang-undang yang boleh diambil sekiranya pihak yang menandatangani MoU itu gagal melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Sama ada Indonesia mahu tandatangani atau tidak, rundingan antara dua negara adalah di luar jangkaan kita,” katanya ketika menggulung perbahasan usul berhubung isu jerebu rentas sempadan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, usul yang dicadang­kan oleh Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) itu dibahaskan oleh Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah), Dr. Ong Kian Ming (DAP-Serdang) dan Dr. Mohd. Hatta Ramli (Amanah-Kuala Krai).

Wan Junaidi menjelaskan, antara perkara yang terkandung dalam draf asal MoU tersebut adalah penguatkuasaan undang-undang kebakaran terbuka di Indonesia, sistem amaran awal jerebu serta teknologi pertanian dan perladangan tanpa pembakaran.

Beliau menambah, dua lagi perkara adalah pengurusan tanah gambut yang lestari dan latihan memadam kebakaran di kawasan tanah gambut.

Sementara itu, Kian Ming ketika membahaskan usul tersebut berkata, denda yang berat mesti dikenakan terhadap pihak yang melakukan pembakaran terbuka sehingga mengakibatkan jerebu.

“Sekiranya ada denda, jumlah yang dikenakan perlu menghukum secara adil syarikat-syarikat besar ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Hatta memberitahu, penutupan sekolah akibat jerebu turut memberi kesan kepada ibu bapa yang bekerja.

“Bayangkan, minggu ini seminggu tak pergi sekolah. Tiga bulan dalam tahun depan tidak pergi sekolah. Apa nak jadi dengan negara kita,” katanya.

Comments