Macam Mana Nak Tadbir Negara Kalau Sesama Sendiri Masih Bergaduh?? #1peluru

haji hadi mahathir pas ppbm negeri sembilan bergaduh

Pas secara sinis menyindir dan mempersoalkan Tun Dr. Mahathir Mohamad bagaimana hendak mentadbir negara sedangkan soal pengagihan kerusi dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sendiri masih belum selesai sehingga mencetuskan pergaduhan sesama sendiri.

Sindiran itu dibangkitkan Pre­siden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas ditanya mengenai tindakan sekumpulan ahli PPBM Negeri Sembilan membuat kecoh semasa Konvensyen Pakatan Harapan negeri itu semalam selepas tidak berpuas hati dalam soal pengagihan kerusi dalam gabungan tersebut.

Dalam masa sama, Abdul Hadi juga mengingatkan Dr. Mahathir supaya menyelesaikan terlebih dahulu masalah dalaman mereka sebelum menyindir hasrat Pas untuk bertanding di 130 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai angan-angan Mat Jenin.

“Biar mereka (PPBM) sendiri selesaikan masalah mereka. Cuma apabila sebelum pilihan raya sudah bergaduh bagaimana hendak membentuk kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis pecah tanah Kompleks Pendidikan Ibnu Aqil di Kampung Kubang Siput, Jalan Kodiang- Pauh di sini hari ini.

Yang turut hadir, Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin; Setiausaha Politik Presiden Pas, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli.

Semalam sekumpulan ahli PPBM Negeri Sembilan membuat kecoh semasa Konvensyen Pakatan Harapan selepas tidak berpuas hati hanya diberikan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding dalam PRU-14 di negeri itu.

Ahli-ahli PPBM tersebut dalam sidang akhbarnya selepas itu menjelaskan mereka dengan tegas menolak penjelasan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang meminta mereka berkompromi dalam agihan kerusi yang akan ditandingi parti itu pada PRU-14.

Ketua Pemuda PPBM negeri, Mohd. Sharul Anuar Abu Samah dilaporkan berkata, parti itu hanya diberikan enam kerusi DUN yang dianggap berstatus ‘hitam’ iaitu sukar untuk mencapai kemenangan berdasarkan keputusan pilihan raya umum lalu.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, Pas sentiasa realistik untuk bertanding di 130 kerusi Parlimen pada pilihan raya kelak berdasarkan kepada kekuatan mereka yang mempunyai 195 kawasan di seluruh negara.

“Kita bertanding di atas dahan yang kukuh. Kita ada 195 kawasan, cawangan serta jentera yang kuat. Kami hanya bertanding 130 kerusi dan itu sasaran yang realistik dan berpijak di bumi yang nyata.

“Kalah menang itu soal lain, yang penting kita bertanding dahulu,” katanya. -UM

SHARE ON:

Comments