Skandal Terowong Dasar Laut: LGE Cuba Kelirukan Fakta!

lim-guan-eng-terowong-dasar-laut-dap-pulau-pinang

Ketua Menteri, Lim Guan Eng didakwa memberi fakta mengelirukan apabila memaklumkan hanya tanah seluas 1.49 hektar diserahkan kepada pihak syarikat sebagai bayaran kajian kebolehlaksanaan tiga jalan utama di negeri itu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow, berkata EXCO Kerja Raya, Utiliti dan Pembangunan negeri, Lim Hock Seng yang mewakili Ketua Menteri, secara rasmi ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 19 Mei lalu, memaklumkan keluasan tanah diserahkan kepada syarikat adalah 2.29 hektar.

Katanya, berlaku percanggahan apabila Guan Eng ketika sidang medianya pada 11 Januari lalu, mengakui hanya tanah seluas 1.49 hektar berharga RM208 juta berdasarkan nilai RM1,300 satu kaki persegi diserahkan kepada syarikat sebagai bayaran kos kajian terbabit.

"Berdasarkan angka diperoleh dari DUN Pulau Pinang dan pengiraan kami, keluasan sebenar Lot 702 dan sebahagian Lot 713 di Sri Tanjung Pinang yang diserahkan kepada syarikat adalah 2.29 hektar bercanggah dengan keluasan 1.49 hektar yang diberi Guan Eng.

"Nilai kedua-dua lot tanah itu berdasarkan pengiraan RM1,300 satu kaki persegi sepatutnya adalah RM321 juta, tetapi Kerajaan DAP Pulau Pinang mendakwa ia cuma bernilai RM208 juta. Jadi ke mana baki nilai tanah berjumlah RM113 juta pergi," katanya pada sidang media di Pejabat GERAKAN negeri di sini, hari ini.

Kerajaan negeri ketika ini berdepan kontroversi pembinaan projek mega terowong dasar laut dan tiga jalan utama bernilai RM6.3 bilion yang didakwa kos kajian kebolehlaksanaannya terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran menggunakan tanah negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak melakukan siasatan lanjut, selepas mendapati terdapat ahli politik dipercayai menerima habuan sehingga jutaan ringgit dalam kajian projek menghubungkan Persiaran Gurney di sini, ke Bagan Ajam di Butterworth, yang dijangka dibina pada 2023 itu.

Chang Yeow berkata, pihaknya juga mendapati Lot 702 diserahkan kepada syarikat pada Februari 2015, kira-kira tiga bulan lebih awal sebelum laporan pertama kajian kebolehlaksanaan diserahkan kepada kerajaan negeri pada Mei 2015.

"Timbul tanda tanya bagaimana kerja kajian belum selesai, tetapi tanah sudah diserahkan sebelum disusuli penyerahan sebahagian Lot 713 yang diserahkan kerajaan negeri pada Mac 2017.

"Kerajaan negeri boleh membuat penafian dalam isu ini, tetapi kami mempunyai bukti mereka mengelirukan DUN dan rakyat Pulau Pinang. Jawapan mereka selama ini tidak boleh dipercayai," katanya. -BH

SHARE ON:

Comments