Jangan Hapus Punca Pendapatan Rakyat (BR1M) - Calon Pas


Pas menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) menilai semula niat untuk mengurang dan memansuhkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kerana rakyat sudah pun menganggap insentif itu sebagai ‘income’ atau punca pendapatan.

Calon Pas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr. Halimah Ali berkata, mereka yang terdiri daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) jelas bergantung kepada bantuan itu tambahan pula ia sudah diberi oleh kerajaan terdahulu bertahun-tahun lamanya.

Menurut beliau, keluhan-keluhan seperti itu sering diluahkan pengundi apabila tiap kali jenteranya melakukan ziarah terutama di pangsapuri kos rendah.

“Tidak kisahlah dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang cakap tidak mahu bagi tongkat dan sebagainya. Tetapi BR1M tidak boleh diberhentikan begitu sahaja kerana jika mahu mendidik ia mengambil masa.

“Mereka bergantung dengan inisiatif itu sudah bertahun-tahun dan sudah anggap ia sebagai ‘income’,” katanya selepas melakukan ziarah kasih di Apartmen Desa Mentari, Petaling Jaya, dekat sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan isu membabitkan kos sara hidup rakyat seperti BR1M, pengenalan cukai soda dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tidak mampu menggerunkan jentera PH dalam mendepani kedua-dua PRK iaitu di DUN Seri Setia dan Balakong pada 8 September ini. - UM

SHARE ON:

Comments