Anwar Kembali Ke Parlimen Oktober 2018


Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan kemungkinan beliau akan kembali semula menjadi Ahli Parlimen menjelang akhir tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau belum membuat keputusan mengenai kerusi Parlimen yang ingin beliau tandingi dalam pilihan raya kecil (PRK).

“Saya sudah jelaskan perkara ini secara peribadi dan umum yang saya akan kembali ke Parlimen, insya-Allah jika menang (PRK) sebelum hujung tahun... mungkin Oktober.

Tumpu inisiatif pembaharuan

“Saya akan memberi tumpuan kepada inisiatif membawa pembaharuan kepada Parlimen bagi menyokong usaha yang dibawa kerajaan di bawah kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya dalam wawancara bersama NSTP di Ibu Pejabat PKR di sini.

Sebelum ini, pada PRK Sungai Kandis yang lalu, Anwar dilaporkan berkata kerusi Parlimen akan dikosongkan bagi memberikan beliau ruang untuk bertanding.

Langkah itu dilihat sebagai persediaan untuk Anwar menjadi Perdana Menteri Kelapan.

Perjanjian Pakatan Harapan (PH) yang dipersetujui Januari lalu menetapkan Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Ketujuh dan Anwar sebagai Perdana Menteri Kelapan.

Beberapa pemimpin PKR sebelum ini menyatakan kesediaan menawarkan kerusi mereka kepada Anwar.

Antaranya, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul selepas isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak sulungnya, Nurul Izzah dikatakan enggan melepaskan kerusi Parlimen Pandan serta Permatang Pauh.

Ahli Parlimen paling muda dalam sejarah negara, P Prabakaran pula menyangkal dakwaan beliau akan dibayar RM25 juta untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding di kerusi Parlimen Batu.

Yang turut disebut ialah dua Ahli Parlimen Bebas di Perak turut dirisik supaya memberi ruang kepada Anwar, namun Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Seri Dr Noor Azmi Ghazali dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menafikan perkara itu.

Pilih kawasan selesa

Ditanya kerusi Parlimen yang sedang diintainya, Anwar yang juga bakal Presiden PKR menjelaskan beliau sedang menimbangkan beberapa kawasan termasuk tawaran yang serius oleh beberapa pihak kepadanya.

“Saya ada pertimbangkan satu kerusi ini, beliau menawarkan kepada saya tetapi apabila dilihat prestasi, beliau seorang ahli Parlimen yang sangat baik... saya rasa rugi pula, jadi semuanya sedang dipertimbangkan,” katanya.

Anwar berkata, beliau mahu memilih kawasan Parlimen yang memberi keselesaan bukan saja kepada beliau tetapi juga pengundi.

“Ini soal untuk kita memberikan perkhidmatan kepada rakyat. Kita perlukan keselesaan itu, seperti di Permatang Pauh kita rasa macam adik beradik, boleh melawak begitu dan begini dan saya sangat yakin dengan mereka begitu juga mereka (pengundi).

“Hendak mencapai tahap sebegitu tidak mudah kerana ia mengambil masa,” katanya.

Ditanya mengenai tawaran Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul untuk memberi laluan kepada beliau tetapi dengan syarat diberikan jawatan lebih besar sebagai Menteri Besar Kedah, beliau berkata, perkara itu tidak berbangkit.

Katanya, beliau sudah mendapatkan penjelasan Johari berhubung perkara itu.

“Saya hendak nasihat jika perkara itu ada asas tidak mengapa tetapi perkara itu tidak berbangkit. Perkara itu hanya berlaku andai kata Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengosongkan kerusinya. Konsensus yang parti dalam PH capai adalah menyokong Muhkriz sebagai Menteri Besar Kedah. Itu pendirian parti,” katanya.

Beri ruang kepada Dr M

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau kini memberi ruang seluasnya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengemudi negara kembali ke landasan yang betul.

“Sekarang Dr Mahathir ada tugas besar disebabkan semua masalah yang melanda negara. Saya mendoakan beliau berjaya,” katanya.

Menjawab mengenai siapa calon Timbalan Perdana Menteri sebaik beliau mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Dr Mahathir, Anwar berkata, itu bukan keputusannya.

“Mengenai siapa timbalan saya jika dilantik sebagai Perdana Menteri kelak, itu bukan keputusan saya. Kita ada konsensus namun apa yang lebih penting ialah saya perlu memegang jawatan Perdana Menteri terlebih dahulu,” katanya. -BH

SHARE ON:

Comments