Cukai RM16b: Polis Ambil Keterangan LGE


Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan beliau telah memberi keterangan kepada polis, semalam, berkaitan masalah cukai sebanyak RM16.046 bilion yang gagal dibayar balik kepada pembayar cukai sejak enam tahun dahulu.

Menurutnya, polis sedang menyiasat kes ini sebagai kes pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan berikutan laporan polis pada 23 Ogos 2018 yang dibuat Adun Keranji, Chong Zhe Min.

Dalam kenyataan dikeluarkannya hari ini, beliau turut menganggap kerajaan terdahulu melakukan pemalsuan akaun dan penyelewengan dalam tunggakan bayaran balik cukai berjumlah RM16.046 bilion melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Tunggakan besar itu berlaku kerana bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar tidak memindahkan peruntukan mencukupi kepada Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC) seperti dipohon LHDN.

“Malah, LHDN telah menulis surat rasmi kepada Mohd Irwan pada 2016 untuk meminta lebih banyak wang dipindahkan kepada TBBC tapi tidak diambil peduli.

“Perkara pokoknya ialah siapa yang sebenarnya bertanggungjawab, adakah Tan Sri Mohd Irwan atau mantan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak atau kedua-duanya?,” soalnya memetik kenyataan dikeluarkan beliau, hari ini.

Tambah Guan Eng, kekurangan RM14.56 bilion yang tidak dipindahkan daripada Kumpulan Wang Disatukan kepada TBBC telah dianggap atau diiktiraf sebagai hasil kerajaan oleh kerajaan terdahulu.

“Apa yang dilakukan oleh kerajaan lama boleh dianggap sebagai pemalsuan akaun dan penyelewengan tunggakan bayaran balik baki kredit untuk kegunaan lain atau untuk menutup defisit mereka supaya dapat menunjukkan keadaan lebihan.

“Ini bermakna hasil Kerajaan Persekutuan yang dilaporkan oleh kerajaan lama sebelum ini adalah tidak tepat dan terlebih lapor,” ujarnya.

SHARE ON:

Comments