SIS Digesa Tarik Balik Kenyataan Hina Islam


Jabatan Mufti Perak menggesa Pengurus Program Sisters in Islam (SIS), Shareena Sheriff, menarik balik kenyataannya yang menyinggung perasaan umat Islam bukan saja di negeri ini malahan di seluruh negara.

Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim, mendakwa ungkapan Shareena itu adalah tuduhan berat kerana meletakkan kesalahan terhadap Islam.

Menurutnya, pihaknya bimbang kenyataan yang dikeluarkan secara berleluasa dan terbuka itu akan merosakkan gambaran keindahan Islam dan bakal menyentuh keharmonian serta perpaduan kaum di negara ini.

“Islam adalah agama yang baik dan juga satu cara hidup, ia adalah cara hidup umat Islam. Tanggapan yang meletakkan semua masalah kepada Islam akan mencerminkan kepada orang ramai khususnya bukan Islam bahawa Islam adalah agama yang tidak baik,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Shareena Rabu lalu yang menyatakan Islam sudah menjadi satu endemik yang memberi kesan kepada hampir semua aspek pentadbiran, perundangan dan badan eksekutif negara.

Beliau dilaporkan berkata, keadaan itu menyebabkan usaha untuk memisahkan Islam daripada fungsi kerajaan sekarang ataupun dalam masa terdekat sukar untuk dilakukan.

Shareena dilaporkan berkata demikian ketika menjadi ahli panel sesi soal jawab forum ‘Malaysia Baru: 61 Years After Merdeka, Do Ethnicity and Religion Matters?’ (Malaysia Baru: 61 Tahun Selepas Merdeka, Adakah Etnik dan Agama Masih Penting?).

Forum anjuran Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy.

Zamri berkata, kenyataan Shareena juga memberikan tanggapan salah kepada Islam dan perlu diambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang melakukan perkara seumpama itu supaya ia tidak menjadi ikutan penganut agama lain termasuk Islam sendiri.

“Kita perlu tahu peranan agama Islam dalam kehidupan dan jangan kita menjadi perantara untuk memisahkan dua perkara itu tadi,” katanya.

SHARE ON:

Comments