Harga RON95 & Diesel: Ikut Sistem Zaman BN Mulai Januari 2019


KERAJAAN akan mengembalikan sistem apungan mingguan ke atas harga RON95 dan diesel mulai 1 Januari 2019 dan menjangkakan harga bahan api tersebut akan menjadi lebih murah berikutan trend penurunan harga minyak mentah di pasaran dunia.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata, perkara itu akan memberikan kelebihan kepada pengguna jika harga minyak dunia sedang naik, namun disebabkan trend harga minyak adalah menurun, maka kerajaan bersedia menukarkan asas penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan.

"Ini bermakna kaedah penetapan harga secara bulanan di bawah Mekanisme Harga Automatik (APM) akan digantikan dengan penetapan harga jualan runcit secara mingguan dalam keadaan harga minyak dunia menurun.

"Penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2019 bagi membolehkan pengguna menikmati perubahan harga yang lebih cepat selaras dengan perubahan harga petroleum di pasaran dunia.

"Justeru, harga runcit produk petroleum dijangka turun mulai 1 Januari 2019 dan sekiranya trend penurunan harga minyak sedunia diteruskan, maka harga minyak runcit akan diturunkan setiap minggu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bermula 7 Jun lalu, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-maisng pada paras RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter.

Guan Eng berkata, timbul persoalan apa akan berlaku jika harga minyak dunia naik semula kerana ia akan memperlihatkan kenaikan harga minyak runcit yang akan turut naik setiap minggu.

Katanya, dalam keadaan itu, kenaikan harga minyak runcit akan dikawal dan dihadkan kepada RM2.20 seliter untuk RON95 dan RM2.18 untuk diesel.

"Pengekalan harga ini adalah sehingga pelaksanaan pemberian subsidi petrol RON95 secara bersasar dilaksanakan pada 2019.

Dalam masa yang sama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir tindakan kerajaan mengenalkan harga RON95 pada RM2.20 pada masa sekarang sedangkan harga minyak mentah dunia meunjukkan trend menurun.

Najib berkata, berdasarkan data terbaru hari ini, harga purata MOPS (Means of Platts) untuk petrol RON95 telah jatuh kepada AUD$0.519 satu liter pada akhir minggu lepas berbanding AUD$0.538 untuk minggu sebelum itu.

Jelas Najib, mengikut sistem mekanisme harga automatik (APM) seperti dilaksanakan oleh BN, harga RON95 sekarang sepatutnya RM1.86 satu liter.

"Ini juga bermakna rakyat sedang memberi subsidi minyak sebanyak 34 sen untuk setiap liter kepada kerajaan PH sempena cuti sekolah dan musim perayaan kini.

"Tetapi Menteri Kewangan kita masih malu untuk mengaku agar senang untuk senyap-senyap tibai. Selamat bercuti!" kata Najib dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

SHARE ON:

Comments